Majikan Semakin Yakin Terhadap Graduan TVET

Posted on

PUTRAJAYA – Majikan semakin yakin terhadap kemahiran graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sejak transformasi TVET dilaksanakan pada 2013, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata buktinya kadar gaji permulaan graduan TVET telah meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM1,800 hingga RM2,000 ketika ini, berbanding 2013.

“Ada juga graduan TVET yang mendapat gaji permulaan sehingga RM2,600 terutama di syarikat antarabangsa.

“Ini menunjukkan majikan mula yakin dengan produk keluaran TVET dan saya harap trend ini akan berterusan untuk mewujudkan ekonomi berpendapatan dan berteknologi tinggi yang tidak hanya bersandar kepada laluan akademik sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), di sini hari ini.

Seramai 6,226 graduan dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian menerima diploma dan sijil masing-masing pada konvokesyen kali ke-13 ILKBS itu.

Khairy berkata kadar kebolehpasaran graduan ILKBS yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian pada tahun lepas telah meningkat kepada 92 peratus berbanding 83 peratus pada 2013.

Bagaimanapun, katanya beberapa aspek dalam pembelajaran perlu diperbaiki bagi meningkatkan kemahiran graduan terutama dalam berkomunikasi dan menggunakan bahasa Inggeris bagi memenuhi kehendak industri.

Justeru, beliau berkata ILKBS akan melaksanakan program ’20:50′ yang menetapkan sebanyak 50 peratus kursus kemahiran terutama bagi bidang perkhidmatan dan barisan hadapan menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran menjelang tahun 2020.

“Ketika ini segala aspek pembelajaran menggunakan bahasa Melayu. Bukan bermaksud kita ketepikan bahasa kebangsaan tetapi ini perlu bagi mereka di alam pekerjaan terutamanya jika bekerja di syarikat antarabangsa,” jelasnya.

Khairy berkata bagi memastikan ILKBS terus kekal sebagai institusi TVET unggul, kementerian akan mewujudkan ‘City Campus’ bagi membantu belia menjana pendapatan di samping menjalani latihan jangka pendek dan fleksibel.

Lokasi sasaran kampus berkonsepkan “industry oriented’, ‘quick industry-market pactice’ itu adalah di bandar-bandar besar dan dijangka mampu meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran sederhana dan tinggi bagi memacu operasi industri menjelang 2020, katanya. – BERNAMA

[embedded content]

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *