Mahmud, Pakar Bom, Bendahari Daesh Maut?

Posted on

MANILA – Tentera Filipina mendakwa besar kemungkinan seorang militan terkenal rakyat Malaysia terbunuh dalam pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan di bandar Marawi semalam.

Dr. Mahmud Ahmad yang merupakan bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur dan dianggap pakar pembuatan bom, dipercayai dalam kalangan 13 anggota militan pro-Daesh maut semasa pertempuran itu.

Beliau yang juga digelar sebagai Abu Handzalah. dipercayai memainkan peranan penting membiayai dana operasi tindakan kumpulan pengganas terbabit di selatan Filipina bagi menduduki kota Marawi hampir lima bulan.

Tentera kerajaan namun berjaya menguasainya semula dua hari lalu selepas dua ketua pemberontak itu disahkan dibunuh dan diisytiharkan sebagai bebas oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte selepas perang selama 148 hari.

Kira-kira 1,000 orang, termasuk lebih 800 daripadanya iaitu militan pro-Daesh, terbunuh dalam pertempuran sepanjang tempoh itu. Mereka termasuk, Isnilon Hapilon, seorang pemimpin kumpulan pengganas Abu Sayyaf’

Turut maut ialah Omarkhayam, satu daripada dua pemimpin kumpulan militan Maute. Mahmud, 39, dipercayai mungkin “dilantik” untuk menjadi ketua pengganas Daesh di rantau Asia Tenggara selepas kematian Isnilon.

Bekas tenaga akademik dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam UM serta sudah berkahwin itu dipercayai menyertai Khatibah Nusantara, cabang penyokong Daesh di Asia Tenggara yang berpusat di selatan Filipina.

Berasal dari Batu Caves, Selangor, Mahmud mula menganggotai Abu Sayyaf, antara sel Daesh di Mindanao pada April 2014. Dilahirkan pada 25 September 1978, beliau mula terlibat dalam aktiviti militan sejak 1990-an lagi.

Ketika itu Mahmud belajar di Islamabad, Pakistan. Beliau juga menerima latihan ketenteraan di kem pengganas Al Qaeda di Afghanistan. Mahmud dilaporkan mengasaskan dan menjalankan premis Open Tahfiz Centre di Gombak.

Kembali dari Pakistan, beliau menamatkan pengajian Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Doktor Falsafah dari UM. Mahmud pernah melatih pengebom bunuh diri, Ahmad Tarmimi Maliki.

Pemuda Malaysia itu menjadi tajuk berita utama media seluruh dunia setelah berjaya meletupkan 25 askar elit Iraq pada 26 Mei 2014, sekali gus meletakkan nama Mahmud sebagai sangat berpengaruh dan amat dikehendaki.

Berbekalkan pengalaman mengajar dan belajar di universiti, beliau dianggap berkeupayaan merekrut pengganas yang berlatar belakang pendidikan tinggi bagi misi strategik terutama pengeboman nekad secara bunuh diri.

Pada 6 Jun lalu, ketika lebih 200 pengganas pro-Daesh berjaya dibunuh tentera Filipina, Mahmud disahkan mengambil alih kepimpinan, berikutan kecederaan parah Isnilon. Namun, berita tersebut tidak dapat disahkan.

Nama Mahmud sekali lagi menjadi tumpuan media antarabangsa apabila dikatakan sudah mati pada 22 Jun dalam pertempuran di Marawi tetapi kemudian dinafikan oleh ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Di samping korban jiwa tinggi, pertempuran sengit di Marawi menyebabkan kemusnahan besar harta benda. Setiausaha Pertahanan Filipina menganggarkan kos AS$1.1 bilion untuk membangunkan semula Marawi.

Pihak berkuasa tempatan bagaimanapun enggan menyatakan bilakah penduduk berlindung di pelbagai tempat sementara lain dapat pulang ke rumah mereka di situ kerana masih diisytiharkan undang-undang tentera.

Jurucakap pemerintah Marawi berkata di samping berusaha memulihkan bekalan air dan elektrik, pihaknya juga mahu memastikan tiada lagi militan dapat menyusup masuk ke bandar ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *