Lin Dan gagal buru gelaran juara dunia ke-6 apabila tewas kepada Viktor Axelsen

Posted on

Pemain Denmark, Viktor Axelsen memenuhi impiannya apabila menumbangkan pemain legenda, Lin Dan dalam dua set untuk merangkul kejuaraan perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow.

Pada usia 33 tahun, Lin Dan memburu gelaran keenamnya tetapi hajatnya disekat dalam kekalahan 22-20, 21-16 di tangan Axelsen yang 10 tahun lebih muda.

Axelsen adalah pemain Denmark ketiga merangkul kejuaraan perseorangan lelaki selepas Flemming Delfs (1977) dan Peter Rasmussen 20 tahun lalu, juga di Glasgow.

“Ia adalah impian saya untuk berada di final kejohanan dunia,” kata Axelsen, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2014 dan Olimpik 2016.

“Tetapi sukar dipercayai dapat menewaskan Lin Dan. Sudah beberapa tahun saya menyaksikan dia bermain. Hari ini, saya mungkin tampak yakin, tetapi di dalam saya menggeletar seperti anak kecil.”

Bagi Lin Dan pula, ia adalah kekalahan yang cukup sukar diterimanya. “Jika saya menang set pertama, keputusannya mungkin berbeza,” kata jaguh dari China itu. “Tetapi di set kedua, tekanan tertumpu kepada saya.”

Dalam final perseorangan wanita, Nozomi Okuhara muncul pemain Jepun pertama menjuarai kategori itu dengan kemenangan 21-19, 20-22, 22-20 ke atas Pusarla V Sindhu dari India. – AFP

Sumber: BH Online

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *