Lima mati kerana cuaca panas melampau digelar Lucifer

Posted on

Rome: Sekurang-kurangnya lima orang mati akibat cuaca panas yang melanda selatan Eropah dengan suhu meningkat lebih 42 darjah Celsius di beberapa negara, termasuk Itali, Sepanyol dan Croatia kelmarin.

Lima mati kerana cuaca panas melampau digelar Lucifer

Lima mati kerana cuaca panas melampau digelar Lucifer

Kematian di Itali dan Romania dikatakan berpunca daripada cuaca panas melampau sejak lima hari lalu dengan gelombang panas itu digelar di Itali sebagai ‘Lucifer,’ perkataan yang merujuk kepada hantu atau syaitan.

Di Sardinia, pulau milik Itali, suhu mencecah 43 darjah Celsius petang semalam.

Antara yang mati ialah dua pesara berusia 79 dan 82 tahun yang terperangkap dalam kebakaran hutan di Abruzzo, selatan Itali.

Di Romania, dua kematian dikaitkan dengan cuaca panas, termasuk seorang petani yang mati ketika bekerja di ladangnya di Mogosesti di timur laut negara itu.

Gelombang panas itu menyebabkan kerosakan hasil pertanian berjumlah berbilion euro.

Di Itali, jumlah orang yang dimasukkan ke hospital meningkat antara 15 dan 20 peratus.

Pihak berkuasa kesihatan di Perancis memberi amaran kepada penduduk negara itu supaya berwaspada terhadap ancaman yang dihadapi mereka yang sakit dan golongan tua.

Saintis memberi amaran, keadaan yang berlaku itu adalah gambaran kepada keadaan yang lebih buruk yang dijangka berlaku pada masa akan datang.

Menurut mereka, jumlah kematian akibat cuaca panas terlampau di Eropah akan meningkat puluhan kali ganda dalam masa beberapa tahun sekiranya kepanasan global tidak ditangani.

Eropah Selatan akan menderita paling teruk dengan cuaca panas akan menjadi penyebab kepada 99 peratus kematian, menurut kajian yang dijalankan untuk Suruhanjaya Eropah.

Saintis minggu lalu juga memberi amaran, sebahagian besar Asia Selatan, tempat kediaman seperlima populasi dunia, akan menjadi panas sehingga tidak tertahan menjelang akhir abad ini.

Sumber: Metro

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *