Lelaki OKU Ubah Hidup Dengan Menternak Puyuh

Posted on

SITIAWAN – Berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang Muhammad Faris Jamin, 26, berdikari dan mencapai cita-cita menjadi usahawan berjaya dengan mengusahakan ternakan burung puyuh di Kampung Pasir Pandak, dekat sini.

Bermula pada 2014 dengan 2,000 burung puyuh dan sebuah reban, kini Muhammad Faris mempunyai tiga reban yang mampu memuatkan 6,000 puyuh.

Menurutnya, semuanya bermula selepas dia kehilangan kaki kiri selain patah tangan dan tulang pipi dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Ayer Tawar pada 2013.

“Kemalangan itu membawa perubahan besar dalam hidup saya daripada insan normal menjadi OKU, namun saya bersyukur masih diberi peluang bernafas dan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya.

“Saya mengambil masa setahun untuk menyesuaikan diri dengan hanya satu kaki seperti mengimbangkan badan untuk memudahkan saya berdiri, berjalan tanpa tongkat dan solat,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, dia nekad menerima saranan bapa, Jiman Zakaria, 56, untuk membela buruh puyuh kerana dia tidak mahu hanya bergantung dengan bantuan bulanan semata-mata.

“Sokongan keluarga dan rakan menjadikan saya bersemangat untuk menjalankan ternakan ini biarpun saya akui pergerakan sukar terutama membabitkan kerja berat, alhamdulillah ayah sentiasa membantu.

“Sehingga kini saya mempunyai 6,000 burung puyuh untuk diproses dan dipasarkan di Hutan Melintang dan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya yang menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, dia tidak mempunyai induk dan bekalan anak benih diperoleh daripada pembekal pada usia satu hari dan setiap burung puyuh memerlukan sebulan untuk tumbesaran sebelum dijual.

“Pada hari ke-28 burung puyuh sudah boleh dipilih untuk disembelih dan pengurusan haiwan juga rumit dan sensitif seperti membabitkan suasana, cuaca dan suhu air ketika proses merendam puyuh dengan air panas supaya kulitnya tidak mudah tercabut.

“Pernah juga saya kerugian apabila separuh daripada ternakan puyuh mati namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus maju,” katanya.

Muhammad Faris turut menerima bantuan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan berhasrat untuk mengembangkan pasarannya dengan menambah bilangan reban untuk meningkatkan pengeluaran.

“Malah, saya berhasrat mempelbagaikan produk tidak hanya sejuk beku seperti puyuh perap.

“Pulangan agak memuaskan dan mampu menampung kehidupan kami dan saya juga mahu membuktikan kepada golongan senasib, kita boleh berjaya asalkan ada usaha dan semangat,” katanya. – myMetro Online

[embedded content]

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *