Lelaki cedera ditikam remaja dalam kejadian samun

Posted on

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditikam seorang remaja yang menyamun mangsa dalam kejadian di sebuah medan selera, di Jalan Alma, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan di dada kiri, belakang badan dan bahu kiri akibat ditikam dengan pisau.

“Menurut saksi kejadian itu, suspek berusia 19 tahun yang bersenjatakan pisau bertindak mengejar mangsa dari hadapan sebuah pasar raya di situ sehingga ke medan selera tersebut.

“Mangsa ketika sampai di medan selera itu bertindak menjerit meminta tolong sebelum beberapa peniaga dan pelanggan di situ membantunya dan mereka turut berjaya menahan remaja berkenaan,” katanya.

Katanya polis kemudian menahan remaja berkenaan dan merampas sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

Nik Ros Azhan berkata mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut dan menurut doktor yang merawat terdapat lima kesan tikaman di badan lelaki itu.

“Terdapat tiga kesan tikaman di bahagian belakang badan dan masing-masing satu kesan tikaman di dada kiri serta bahu kiri mangsa. Lelaki itu dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata remaja itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis SPT untuk siasatan lanjut dan dia akan dibawa ke mahkamah untuk perintah reman esok.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *