Lee Gembira Melayu Terlibat Sepenuhnya Bina Singapura

Posted on

SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong gembira masyarakat Melayu terlibat sepenuhnya dalam usaha kerajaan membina negara itu dan bersedia mengharungi masa hadapan.

Beliau berkata iltizam itu akan memacu negara mencatat kemajuan dan mengatasi  cabaran bersama-sama sebagai masyarakat yang utuh.

“Itulah visi Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak, pada 50 tahun lepas. Jika beliau ada bersama kita hari ini, tentu beliau gembira melihat perkembangan dan kemajuan kita,” kata beliau dalam ucapan yang disampaikan dalam bahasa Melayu pada Rapat Hari Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Lee juga berkata tidak lama lagi, jika semuanya berjalan lancar, seorang lagi warga Melayu yang berwibawa bakal menjadi Presiden baharu bagi Singapura.

“Saya berharap beliau akan membawa penghormatan dan kecemerlangan kepada institusi presiden dan akan disayangi serta dikenang oleh rakyat Singapura sama seperti Yusof Ishak.

“Inilah yang akan memperkukuhkan keharmonian kaum, rasa bangga dan cinta kita menjadi rakyat Singapura.

“Inilah yang akan membolehkan kita bekerjasama lebih erat lagi bagi menghadapi apa jua cabaran yang melanda. Inilah juga membantu kita berkembang maju bersama-sama sebagai satu rakyat satu Singapura,” kata beliau.

Lee turut menyentuh tiga isu nasional iaitu meningkatkan pendidikan prasekolah, mengatasi penyakit kencing manis dan membentuk Negara Bijak.

Beliau berkata pendidikan prasekolah yang merangkumi penjagaan bayi dan tadika penting kerana ia membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya di sekolah, dalam kerjaya dan kehidupan.

“Saya gembira lebih ramai kanak-kanak Melayu kini mendapat pendidikan prasekolah,” kata Lee sambil memberitahu bahawa kerajaan pemerintah sedang meningkatkan mutu prasekolah, menambah tempat dan mempertingkat kemahiran guru-guru selain memastikan “biayanya dimampui.”

Menyentuh tentang penyakit kencing manis, Lee berkata ia merupakan satu masalah kesihatan serius di Singapura dengan 10 peratus rakyatnya menghidap penyakit itu.

“Kira-kira 17 peratus datangnya daripada kalangan masyarakat Melayu,” kata Lee dan mengakui beliau sendiri menggemari dodol dan ondeh-ondeh.

Beliau turut mengalu-alukan usaha masjid-masjid dan badan-badan Melayu Islam yang giat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyebarkan mesej tentang kencing manis.

Dengan pemerintah giat merancakkan ekonomi negara menggunakan teknologi maklumat (IT) sepenuhnya, Lee menggalakkan masyarakat Melayu Islam supaya merebut peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka agar berjaya dalam ekonomi baru.

“Masa hadapan generasi muda adalah cerah. Ramai pelajar Melayu di universiti dan politeknik sedang mengikuti kursus teknikal seperti kejuruteraan perisian, sains data dan seni digital. Ia memberi jaminan peluang yang baik dalam ekonomi baru,” kata beliau.

Lee turut melahirkan rasa gembira melihat anak muda Melayu memulakan syarikat baru dalam pelbagai sektor.

Beliau memberi contoh sebuah syarikat milik anak muda Melayu, Riverwood, yang berjaya menjadi rakan logistik kepada Amazon’s Prime Now di sini.

Beliau juga yakin lebih ramai orang Melayu dapat merebut peluang tersedia sebagai usahawan dan karyawan. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *