Lebih banyak transaksi RMB dibuat di Malaysia – HSBC

Posted on

KUALA LUMPUR: The Hong Kong and Shanghai Banking Corp Ltd (HSBC) menjangka lebih banyak transaksi dalam mata wang China, renminbi (RMB) di Malaysia melalui pembayaran daripada perspektif pertukaran asing dan pelaburan.

Ketua Pengantarabangsaan Global, Pembayaran Global dan Pengurusan Tunai Asia-Pacific, Vina Cheung berkata, tahun lepas, mengikut data Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (SWIFT), Malaysia mencatat kenaikan 27 peratus dalam pembayaran komersil menggunakan RMB yang juga menunjukkan pasaran Malaysia mempunyai pengetahuan menggunakan RMB dalam banyak syarikat korporat.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya mata wang tersebut berada dalam perbendaharaan dan aktiviti pengurusan tunai syarikat.

“Syarikat korporat tahu manfaat RMB apabila nilai ringgit rendah dan menggunakan RMB untuk menjelaskan dagangan mereka, bukan sahaja dengan China tetapi juga negara lain yang mempunyai penjelasan dalam RMB seperti Jepun, Singapura dan Hong Kong,” katanya pada taklimat media mengenai Pembangunan Di China dan Pengantarabangsaan RMB di sini, hari ini.

Cheung berkata, dengan membuat pembayaran menggunakan RMB dengan negara lain, syarikat korporat boleh meningkatkan peluang lindung nilai mereka untuk kedua-dua pihak.

SWIFT juga menyatakan yang RMB telah menjadi mata wang penjelasan global keenam pada 2016, satu perkembangan menarik untuk RMB sejak 2008.

Mengenai inisiatif ”Satu Jalur, Satu Jalan” China, beliau berkata, HSBC juga bersedia bekerjasama dengan pengamal pasaran serta syarikat korporat dari China untuk mengkaji strategi penting bagi meningkatkan integrasi dalam ekonomi global.

“Kita bercakap mengenai US$60 bilion (US$1 = RM4.39) nilai peluang projek dan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, akan wujud lebih banyak perhatian bagaimana syarikat korporat terlibat dalam projek dari segi memantapkan perbendaharaan dan pengurusan tunai mereka.

“Ia akan menjadi infrastruktur modal kerja yang syarikat korporat perlu bangunkan dan dengan pengurusan modal kerja yang betul, mereka akan berjaya,” kata Cheung.

Menurutnya, inisiatif ”Satu Jalur, Satu Jalan” adalah peluang untuk Malaysia berikutan kedudukannya di tengah-tengah Asia Tenggara.

“Dari segi perspektif RMB, kita menerajui perbankan antarabangsa dalam perniagaan RMB global di mana kita mempunyai kira-kira US$1.25 bilion pendapatan daripada pengantarabangsaan RMB dan kita sedang mengkaji untuk meningkatkan pendapatan itu kepada US$2.2 bilion dalam tempoh beberapa tahun lagi,” kata Cheung.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *