Lebih 200 Jawatan Tetap Di Sogip Diisi Penduduk Tempatan

Posted on

KOTA KINABALU –  Sebanyak 259 jawatan tetap yang ditawarkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah diisi oleh penduduk tempatan, setakat Mei tahun ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 409 peluang pekerjaan tetap yang diwujudkan secara langsung di taman perindustrian berkenaan.

“(Ini menunjukkan) 62.6 peratus daripada jumlah keseluruhan (jawatan tetap ditawarkan) telah diisi penduduk tempatan dan ini tidak mengambil kira peluang pekerjaan yang wujud secara tidak langsung dari pelaburan di SOGIP,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Limus Jury (BN-Kuala Penyu) yang ingin tahu berapa banyak pelabur melabur di SOGIP dan jumlah peluang pekerjaan diwujudkan kepada penduduk tempatan.

Bolqiah berkata Sabah Oil and Gas Development Sdn Bhd (SOGDC) selaku penggerak SOGIP sedang berusaha mencari pelabur-pelabur sesuai terdiri daripada mereka yang menggunakan gas asli sebagai sumber utama pemprosesan.

“Perancangan terbaru ialah pembinaan loji ammonia kedua bersebelahan SAMUR (Projek Ammonia dan Urea Sabah). Perancangan ini sedang diteliti lembaga pengarah SOGDC.

“Sekarang terdapat tiga permohonan iaitu Eurochem, China Consortium dan Markisa dari Petronas. Projek dianggarkan berjumlah USD800 juta dan dijangka siap pada tahun 2021,” katanya.

Bolkiah berkata SOGDC juga sedang aktif mencari peneraju utama bagi aktiviti hiliran seperti penyimpanan serta penapisan minyak dan gas.

Selain daripada projek ammonia dan urea, katanya, terdapat juga pelaburan dari Petronas Gas Berhad melalui pembinaan saluran paip Sabah Lateral Gas Pipeline dalam kawasan SOGIP yang juga akan memberi pendapatan kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Bolkiah berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM459 juta untuk membangunkan kemudahan asas di SOGIP merangkumi bekalan air, elektrik dan jalan. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *