KKLW sumbang RM230,000 kepada mangsa kebakaran pusat tahfiz

Posted on

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta agensi di bawah seliaannya pada Khamis menyerahkan wang sumbangan kepada waris-waris mangsa yang terlibat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bulan lalu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyerahkan wang kutipan sebanyak RM230,043 itu berkata, wang tersebut akan diagih-agihkan kepada semua waris mangsa sama ada yang meninggal dunia, cedera atau yang terselamat.

“Selain sumbangan wang tersebut, khidmat pendawaian semula oleh agensi Giatmara di setiap pusat tahfiz di seluruh negara akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pelajar dan tenaga pengajar di situ,” katanya kepada pemberita di kementerian itu di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, beliau tersentuh dengan tragedi itu kerana mengenali pelajar tahfiz terbabit secara peribadi.

“Saya pernah makan dan berbuka puasa dengan mereka,” katanya. 

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Timbalan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Ustaz Roslan Awang Ali; Timbalan Menteri KKLW, Datuk Alexandar Nanti Linggi dan penyelaras waris mangsa kebakaran, Datin Hartini Abdul Ghani.

Antara agensi yang menyumbang termasuk RISDA, FELCRA, GIATMARA, KESEDAR dan KEJORA serta sumbangan peribadi daripada Ismail Sabri sendiri.

Pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz tersebut terkorban dalam kebakaran yang berpunca daripada perbuatan khianat.

Dalam perkembangan lain, Bernama melaporkan, KKLW akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana lebih RM100 juta untuk program rakyat miskin.

Ismail Sabri berkata beliau difahamkan kes tersebut melibatkan kes lama. 

 “Walau  kes ini merupakan kes lama, mungkin failnya masih berada di KKLW. Jadi jika SPRM perlukan  fail itu dan sebagainya kita akan serahkan. Apa saja yang diperlukan SPRM kita (KKLW) akan berikan,” katanya.

Menurut laporan media, lebih RM100 juta dana program untuk rakyat miskin diseleweng oleh pegawai kementerian yang bersekongkol dengan 10 syarikat.

BACA: 4 ditahan didakwa seleweng wang peruntukan hampir RM40 juta

BACA: Riot beri keterangan 10 jam di SPRM

BACA: SPRM sahkan ambil keterangan Richard Riot

BACA: Penyelewengan dana: Datuk, dua individu bebas reman SPRM

Antara peruntukan projek yang diseleweng ialah untuk program bantuan makanan pelajar miskin.

Dilaporkan susulan siasatan yang dijalankan, SPRM membekukan sembilan akaun bank bernilai RM151 juta.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *