Kira-Kira 500 Warga Kerja Yayasan Sabah Lafaz IBR

Posted on

KOTA KINABALU – Kira-kira 500 warga kerja Yayasan Sabah melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini sebagai usaha membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Majlis ikrar itu diketuai oleh Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad dan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi.

Berucap pada majlis itu, Sapawi berkata inisiatif Yayasan Sabah melaksanakan IBR menunjukkan sokongan dan komitmen warga kerja yayasan itu dalam memikul tanggungjawab dan akauntabiliti bagi mengelakkan daripada terjerumus dalam rasuah dan salah guna kuasa.

“Ini juga menunjukkan komitmen Kumpulan Yayasan Sabah terhadap tujuh nilai-nilai teras organisasi iaitu jujur, komited, prihatin, dinamik, tegas, cekal dan berorientasikan hasil,” katanya.

Beliau berkata IBR secara tidak langsung dapat memperkasakan pengurusan dan warga kerja untuk memerangi rasuah dan menanam nilai integriti dalam diri, sekali gus memastikan warga kerja lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Hasilnya, organisasi akan dapat melahirkan modal insan yang lebih beramanah, beretika dan seterusnya dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, Sazali berkata pihaknya sangat mengalu-alukan komitmen Yayasan Sabah untuk bersama-sama SPRM dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM tidak mampu untuk perangi rasuah secara bersendirian tanpa sokongan pihak luar dan sudah tentu melalui kerjasama seperti ini kita boleh meningkatkan lagi integriti dalam kalangan penjawat awam di Sabah.

“Oleh itu saya berharap dengan usaha melaksanakan IBR, Yayasan Sabah akan terus memberikan perkhidmatan terbaik seperti yang diharapkan oleh kerajaan negeri,” katanya. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *