Kesilapan lalu bukan ukuran

Posted on

najiy.hmetro.com.my

Episod cinta Uqasha Senrose dan Hefny Sahad sebenarnya bukan lagi rahsia buat peminat.

Mula menjalin hubungan sejak tahun lalu, perkara itu sering membuatkan peminat berteka-teki mengenai sejauh mana hubungan cinta mereka.

Tidak mahu terus membiarkan khalayak tertanya-tanya mengenai hubungan kasih yang disemai dengan rasa percaya dan nilai persefahaman itu, pemilik nama lengkap Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini akhirnya mengumumkan pengacara Muzik-Muzik itu adalah teman istimewa yang mengisi hidupnya ketika ini.

“Pada mulanya, saya anggap dia tidak lebih daripada teman biasa. Namun, lama-kelamaan saya rasa selesa berkawan dengannya.

“Hefny satu-satunya lelaki istimewa yang mengisi kekosongan hidup saya sejak setahun lalu. Saya harap hubungan kami ini bertahan lama dan melangkah ke fasa seterusnya.

“Selama ini, saya banyak mendiamkan diri kerana tidak mahu hubungan kami menjadi bualan ramai. Biarlah saya kenal hati budinya terlebih dahulu sebelum berkongsi dengan peminat,” katanya.

Ternyata sikap penyayang dan baik hati jejaka berusia 27 tahun itu berjaya mencuit hati Uqasha untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.

“Dia juga tidak pernah menghakimi saya dengan segala macam kontroversi yang berlaku. Dia menerima seadanya saya tanpa menilai setiap kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Bukan mudah untuk seorang lelaki menerima kekasih hati yang pernah melakukan kesilapan dan terkait dengan pelbagai kontroversi. Dia sentiasa memberi saya semangat dan berfikiran positif dalam mendepani hidup yang penuh mencabar ini,” katanya.

Ditanya adakah mereka bercadang melangkah ke fasa seterusnya iaitu bertunang, Uqasha berkata, soalan itu lebih manis ditanya kepada pihak lelaki.

“Saya tiada komen. Bukan apa, lebih manis hal sebegini dijawab pihak lelaki. Bagaimanapun, saya sentiasa bersedia dan terbuka dengan apa saja keputusannya,” katanya.

Makin matang

Ditanya mengenai dirinya yang dilihat semakin matang dalam menyusun bicara, Uqasha berkata, dia seboleh-bolehnya mahu melupakan cerita negatif lalu apatah lagi yang mengaibkan diri dan keluarganya.

“Kalau boleh nak orang lupakan cerita buruk pasal saya. Setiap manusia pasti tidak terlepas melakukan kesilapan.

“Apa yang berlaku sebelum ini menjadikan saya lebih matang. Saya juga tidak mahu lagi memalukan keluarga dengan tindakan atau tingkah laku,” katanya.

Sengaja menjentik persoalan, Uqasha ditanya sama ada dia sudah berpuas hati dengan tahap lakonannya sekarang.

Bersyukur kerana lakonannya makin mendapat nama di hati peminat dan penerbit, luah Uqasha, dia amat bersyukur kerana sering diberikan peluang membawa watak yang besar serta melekat dengan dirinya seperti drama Hero Seorang Cinderella.

Masih lagi belajar

Drama Hero Seorang Cinderella lakonannya itu banyak membuka mata peminat terhadap kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

Namun, dia tidak pernah puas dengan hasil lakonannya kerana mengakui masih belajar.

Kongsinya, bukan senang untuk membawa watak yang berlainan dengan karakternya yang lemah lembut, tetapi Uqasha selalu menganggap ia sebagai cabaran dan sentiasa belajar untuk jadi yang terbaik.

Pada masa sama, Uqasha juga mahu berlakon dalam filem atau drama yang dapat memberi kepuasan dari segi karakter dan penceritaan.

“Saya juga berharap dapat memenangi anugerah pelakon terbaik dan dikenali di luar negara,” katanya yang bakal menjalani penggambaran sebuah filem awal bulan depan.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *