Kes sebat pelajar: Permaisuri Johor titah semua pelajar terlibat jalani ujian kesihatan

Posted on

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melawat pelajar tahfiz yang dipercayai didera pembantu warden di wad dependensi tinggi (HDW) Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Baginda yang tiba jam 12 tengah hari itu meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat Mohamad Thaqif Amin Ghadaffi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata Permaisuri ada bertitah dalam lawatannya supaya semua pelajar yang menerima hukuman sama seperti Mohammad Thaqif oleh pembantu warden terlibat agar menjalani ujian saringan kesihatan.

Titahnya, ujian saringan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin di klinik kesihatan berdekatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“DYMM Permaisuri ada menitahkan kepada saya – pertama, kita akan kenal pasti pelajar lain dalam kumpulan yang terima hukuman sama untuk jalani pemeriksaan kesihatan sebab kita kena bertindak awal kerana (tak mahu bila ada) kes lain baru baru hendak ambil tindakan.

“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Kesihatan supaya melihat dan memantau keadaan tahfiz itu dari aspek kesihatan, kebersihan dan sebagainya,” ujarnya.

Tambah Ayub, baginda Permaisuri turut bertitah agar semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat selepas solat jumaat pada minggu ini bagi mendoakan kesihatan dan kesejahteran mohamad thaqif.

Sementara itu, Ayub memaklumkan laporan ujian darah dan kesihatan Mohamad Thaqif akan diperoleh dalam tempoh dua minggu akan datang.

Perkembangan kesihatan Mohamad Thaqif kini masih kritikal dan difahamkan tangan kanannya kini dalam pemantauan doktor kerana tidak menunjukkan tanda positif.

Pada Jumaat lalu, Mohamad Thaqif yang belajar sebuah madrasah swasta di Kota Tinggi, Johor, menanggung kecacatan kekal apabila kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pihak hospital selepas didapati mengalami pendarahan dan luka dalaman serta jangkitan kuman.

Dia dipercayai mengalami kesakitan di bahagian kaki sejak dua minggu lalu selepas dirotan oleh pembantu warden di tapak kaki dan betis dalam keadaan bersujud.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *