Kes Gigitan Haiwan Meningkat Di Sarawak

Posted on

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) merekodkan 3,064 kes gigitan haiwan termasuk 35 kes terbaru di negeri ini ini sejak 1 April lepas.

Daripada 35 kes gigitan yang dilaporkan hari ini, sebanyak 19 kes dilaporkan di Bahagian Serian, Sri Aman Kuching (8) dan Samarahan (2), kata JKNS dalam kenyataan di sini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 31 kes melibatkan gigitan haiwan peliharaan iaitu anjing 18 kes, kucing 12 kes dan monyet satu kes manakala empat kes melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan iaitu anjing, kucing, tikus dan tupai masing-masing satu kes.

JKNS juga menyatakan bahawa secara kumulatif, seramai 1,100 orang menerima suntikan vaksin anti-Rabies setakat ini.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) melaporkan sebanyak 35,253 haiwan peliharaan terdiri daripada 27,377 anjing, 7,831 kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin setakat ini termasuk 91 anjing dan lapan kucing yang diberi suntikan pelalian penyakit Rabies di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Serian dan Sri Aman hari ini.

Secara kumulatif, JPVS juga membuat persampelan terhadap haiwan peliharaan yang disyaki mendapat jangkitan Rabies dan setakat ini, sebanyak 221 sampel terdiri daripada 203 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Betong, Samarahan dan Serian telah dihantar untuk ujian virus Rabies di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh.

Dalam pada itu, operasi bersepadu yang dikendali Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak bersama JPVS setakat ini menangkap 1,281 anjing terbiar di Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit Rabies.

JPVS juga mengingatkan semua pihak supaya mengelak haiwan kesayangan mereka sama ada yang telah atau belum divaksin daripada bercampur dengan haiwan terbiar selain memerhati perubahan sikap daripada jinak kepada ganas, menggigit sebarang benda yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif.

Setakat ini wabak Rabies telah meragut lima nyawa di Sarawak, manakala seorang lagi mangsa sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *