Kenapa kena jemput Guan Eng tandatangani IBR? – KP SPRM

Posted on

KUALA LUMPUR: Tidak timbul keperluan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghubungi Lim Guan Eng untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Sebaliknya kata Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad, semua negeri termasuk Pulau Pinang seharusnya secara sukarela menandatangani ikrar itu tanpa sebarang paksaan.

Jelasnya, IBR bukan hanya tinggal ikrar sahaja dan mesti diikuti dengan tindakan-tindakan konkrit untuk banteras rasuah.

“Saya hendak nyatakan di sini tidak ada satu negeri pun yang kita hantar surat untuk minta (tandatangan), tidak ada. Kesemua negeri ini menjalankan Ikrar Bebas Rasuah dengan sukarela.

“Mereka menghubungi pihak SPRM sama ada di peringkat negeri, kerana di peringkat negeri kita ada pejabat-pejabat SPRM untuk mengadakan Ikrar Bebas Rasuah. Saya tidak tahu Lim Guan Eng kata kena jemput pula. Ini saya tidak pastilah. Negeri-negeri lain tidak ada pula, kenapa Pulau Pinang pula kena jemput?

“Hebat betul Pulau Pinang ini. Jadi saya pun hairan, dia hendak buat atau tidak, saya pun senang sahaja saya cakap, terpulang pada pimpinan negeri Pulau Pinang,” katanya.

BACA: Lim Guan Eng nafi P. Pinang enggan tanda tangan IBR

BACA: Pulau Pinang, Selangor, Kelantan belum cukup komited – SPRM

Dzulkifli berkata demikian ketika Majlis menandatangani IBR Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Ikrar yang diinisiatifkan SPRM itu ditandatangani di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Guan Eng menafikan kerajaan DAP Pulau Pinang enggan menandatangani IBR.

Sebaliknya, dia berkata pihak SPRM tidak pernah menghubungi kerajaan negeri untuk berbuat demikian.

Pada 12 Julai lepas juga, kerajaan Pulau Pinang menyifatkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (cat) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani IBR.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, IBR merupakan komitmen berterusan PDRM untuk menjauhi amalan rasuah dalam kalangan anggota polis dan masa sama tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kakitangan PDRM yang melakukan rasuah.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *