Kemunculan enjin baharu bakal lonjakkan jualan Ducati tahun depan

Posted on

KUALA LUMPUR: Next Bike Sdn Bhd, pengedar motosikal Ducati di Malaysia, yakin ia akan dapat mencapai pertumbuhan jualan lebih daripada 15 peratus dari tahun ke tahun bagi jenama tersebut pada tahun depan.

Naib Presiden Kedua, Fazli Hisham berkata pertumbuhan ini akan dipacu oleh enjin V4 terbaharu Ducati, ‘Desmosedici Stradale’ yang akan menjana motosikal berkuasa tinggi generasi akan datang, Ducati Panigale.

“Kami jangka pertumbuhan tersebut akan naik sekitar 15 hingga 20 peratus pada tahun depan.

“Daripada enjin L-Twin, semua model Panigale mulai tahun depan akan menggunakan enjin V4 yang baharu,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran SuperSport Ducati 2017 untuk pasaran tempatan di sini baru-baru ini.

Fazli berkata, model Panigale V4 baharu dengan enjin terkini itu akan dipamerkan pada Pameran Motosikal Dunia ke-75 (juga dikenali sebagai EICMA) di Milan, Itali pada bulan November.

Motosikal berkuasa tinggi itu akan mempunyai versi lejang panjang (81 mm x 53.5 mm), memberikan anjakan sebanyak 1,103cc untuk lebih kuasa pertengahan dan tork.

“Pengalaman yang diperolehi daripada perlumbaan Grand Prix akan digunakan bagi membangunkan enjin pengeluaran standard V4 untuk semua generasi motosikal tinggi Ducati yang akan datang.

“Mulai tahun depan, kami akan memperkenalkan kira-kira 10 varian daripada tiga model Ducati untuk pasaran tempatan. Ini termasuk motorsikal berkuasa tinggi Panigale serta motosikal jelajah Multistrada dengan enjin yang lebih besar sehingga 1260cc dan beberapa model scrambler,” katanya.

Dengan jangkaan jualan yang lebih tinggi pada tahun depan, Fazli berkata syarikat meletakkan keutamaan bagi membina asas yang kukuh termasuk meningkatkan pusat Ducati 3S (Bahagian jualan, perkhidmatan dan alat ganti) di seluruh negara.

“Daripada empat pusat 3S kami pada masa sekarang, kami berhasrat untuk menambah empat pusat 3S lain di seluruh negara dan kami akan bekerjasama dengan para pelabur yang ghairah untuk mencapai hasrat ini.

“Pengembangan ini akan meliputi lokasi-lokasi di Sabah, Sarawak, dan secara tentatif di Perak dan Melaka,” katanya

Menurut Fazli, bagi tahun ini, Next Bike yakin akan dapat mencapai sekurang-kurangnya 5 peratus pertumbuhan jualan selepas berjaya menjual 300 unit pada 2016.

“Secara keseluruhan, perniagaan Ducati di Malaysia adalah positif. Kami berada di landasan yang betul untuk mengakhiri tahun ini dengan sekurang-kurangnya lima peratus tambahan daripada tahun lepas, disokong oleh motosikal berkuasa tinggi kami yang paling popular seperti Panigale 959 dan motorsikal jelajah Multistrada, yang dijangka dapat menyumbang kira-kira 45 peratus daripada angka jualan keseluruhan kami,” katanya.

SuperSport Ducati 2017 yang diimport oleh Next Bike dijual pada harga kasar sebanyak RM80,899, manakala varian SuperSport S dijual pada harga RM88,899.

“”Kami akan membawa masuk antara 10 dan 15 unit sahaja pada tahun ini, bagi memenuhi permintaan eksklusif di pasaran tempatan,” katanya.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *