Kementerian Pelancongan Terima 132 Permohonan LKU

Posted on

MELAKA – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerima sebanyak 132 permohonan untuk Lesen Khas Umrah (LKU) setakat 6 Okt lepas sejak permohonan dibuka 20 Sept lepas, kata Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata sehingga Rabu lepas, sebanyak 106 syarikat dan agensi pelancongan telah menerima lesen tersebut yang diwajibkan kepada syarikat dan agensi yang mahu menawarkan pakej umrah di negara ini.

Katanya keputusan kelulusan lesen itu akan dimaklumkan secara rasmi melalui laman web www.motac.gov.my selain pemakluman melalui surat rasmi kepada semua syarikat yang berjaya dari semasa ke semasa.

“Dokumen akan disemak melalui tapisan kasar dan halus sejak LKU dibuka untuk permohonan pada 20 Sept lepas untuk dibawa ke Mesyuarat Pelesenan yang diadakan pada setiap minggu.

“Syarikat atau agensi pelancongan perlu mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelakkan perniagaan mereka terjejas sekali gus membendung kegiatan penipuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu. Mas Ermieyati menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2017 bersempena sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Pada istiadat itu, seramai 208 orang menerima darjah, bintang dan pingat masing-masing hari ini didahului Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *