Kemenangan adalah pengiktirafan kepada Pemuda – Nik Abduh

Posted on

ALOR SETAR: Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang baharu, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz berkata pemilihannya untuk jawatan itu adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan pemuda bagi memantapkan lagi perjuangan parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya harap dapat terus beristiqomah dan itu adalah penghargaan kepada seluruh pemuda daripada perwakilan sehingga memberi undi kepada saya,” katanya kepada pemberita dalam reaksinya terhadap kemenangan dalam pemilihan barisan baharu kepimpinan parti.

Nik Mohd Abduh berkata beliau akan meneruskan kerja menguatkan parti bersama kepimpinan utama khususnya Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menggunakan pengalaman sebagai Ketua Pemuda sebelum ini untuk kebaikan parti.

Nik Mohd Abduh antara 18 calon yang menang daripada 26 yang bertanding jawatan AJK Kerja PAS Pusat bagi penggal 2017-2019,

Beliau memperoleh undi tertinggi iaitu 1,005 undi daripada 1,209 perwakilan yang layak mengundi pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, yang mengekalkan jawatan Naib Presiden, berkata pemilihan yang berlangsung secara harmoni dan tenang sepanjang muktamar kali meyakinkan beliau bahwa tiada ahli PAS yang bertindak keluar parti sebaliknya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Kita telah berikrar kalau ada yang kalah pun tak akan keluar dan banyak calon terima keputusan pemilihan bagi menyumbang kepada pembangunan parti,” katanya.

Idris mengekalkan jawatan Naib Presiden PAS bersama dua lagi penyandang iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan yang tewas dalam saingan jawatan Naib Presiden, berkata walaupun tewas, ia tidak menjejaskan perjuangannya menegakkan Islam dan akan terus bersama barisan kepimpinan yang dipilih.

Katanya ini kerana PAS mempunyai pelapis yang layak memimpin dan walaupun ramai yang meninggalkan PAS seketika dulu, ia tidak akan melemahkan parti sebaliknya lebih utuh, tenang dan mantap.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *