Kemelut FAM; TMJ ‘Usah guna media’ – Datuk Jamal Nasir Sound TMJ Perlu Lebih Profesional

Posted on

Kuantan: Apa saja masalah yang berlaku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya didedahkan kepada media kerana ia dilihat seperti seolah-olah membuka pekung di dada.

“Setiap masalah dalam kelambu badan induk bola sepak negara perlu diselesaikan secara dalaman dan tidak perlu diperbesar serta dihebohkan kepada umum sehingga menyebabkan semua pihak mengetahuinya.

“Mengadu kepada media bukan jalan penyelesaian, mustahil mereka dapat membantu. Saya berpendapat kaedah berkongsi masalah dengan media lebih kepada inginkan publisiti saja,” kata Datuk Jamal Nasir Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa ada usaha terancang pihak tertentu dalam FAM yang mahu menyingkirkannya dan Ketua Pegawai Eksekutif Usaha Sama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.
Jamal Nasir berkata, Presiden FAM mendakwa beliau tahu ada individu yang cuba merebut jawatannya dan jika benar, tindakan tegas perlu dikenakan sebelum masalah lebih besar timbul.

Katanya, kuasa yang ada pada presiden perlu digunakan sepenuhnya untuk menyiasat sehingga ke akar umbi bagi memastikan dalang yang mempunyai agenda jahat dapat dikesan seterusnya dipecat.

Beliau berkata, sesiapa yang memikul jawatan sebagai Presiden FAM perlu memiliki keberanian, kuat semangat dan tidak mudah melatah apabila dikritik.

Menurutnya, setiap teguran perlu dikaji secara profesional bersama jawatankuasa sebelum sebarang tindakan diambil.

“Saya suka menasihati TMJ supaya tidak mudah menggunakan media untuk menghebohkan cerita panas dalam kelambu FAM, sebaliknya apa saja masalah diselesaikan secara bijak dengan ahli jawatankuasa dilantik.

“Selaku Presiden FAM, beliau (TMJ) perlu lebih profesional sebelum mengeluarkan kenyataan, jika benar beliau mengenali individu yang cuba menjatuhkannya, lakukan siasatan dan jika terbukti, tindakan tegas perlu dikenakan.

“Saya mendapati FAM yang diterajui TMJ kini semakin berkesan, diharap lebih banyak kejayaan pasukan Harimau Malaya dilakar di pentas antarabangsa seperti pernah dilalui sebelum ini,” katanya.

Sumber: eraviral

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *