Kemaruk novel cinta punca lelaki bunuh suami kekasih gelapnya

Posted on

ROMPIN: Novel cinta sering dikaitkan dengan cerita penuh kebahagiaan selain disulami babak-babak derita dan kedukaan.

Malah, kebanyakan pembaca novel cinta akan merasakan jalan penceritaan novel itu mirip kehidupan seharian hingga kadang kala terbuai dengan perasaan indah tersebut.

Namun, berbeza dengan kejadian ini, seorang pembantu kedai makan bertindak membunuh seorang lelaki yang merupakan suami kepada kekasih gelapnya di Felda Keratong 2, Muadzam Shah, Rompin di sini, Selasa lalu.

Suspek yang berusia 29 tahun dikatakan menembak mangsa menggunakan senapang patah buatan sendiri di sebuah premis mencuci kenderaan kira-kira pukul 12 tengah malam itu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Azli Mohd Noor berkata, siasatan mendapati suspek menjalinkan hubungan sulit dengan isteri mangsa sejak empat bulan lalu.

Menurutnya, suspek dikatakan berang apabila mengetahui mangsa berhasrat untuk membawa isterinya yang merupakan kekasih gelap suspek pulang ke Acheh, Indonesia walaupun pasangan suami isteri itu dalam proses perceraian.

“Suspek mengakui tindakannya membunuh suami kekasih gelapnya itu didorong oleh isi kandungan novel cinta tersebut yang mempunyai persamaan jalan cerita dengan apa yang lelaki itu hadapi.

“Malah, suspek ada memberitahu kekasih gelapnya bahawa dia akan bertindak apa sahaja untuk mendapatkan wanita itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Azli, sebaik sahaja mengetahui diburu, suspek cuba melarikan diri ke kampung halamannya di Bedong, Kedah tetapi berjaya ditahan sepasukan polis di Hentian Rehat dan Rawat Tanjung Malim, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Katanya, susulan penahanan suspek, pihaknya turut merampas novel cinta tersebut.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *