Kejutan Johnathan!

Posted on

JOHNATHAN Wong menghasilkan kejutan terbesar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila dia menundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Hoang Xuan Vinh dari Vietnam dengan memenangi acara menembak lelaki 10m air pistol di Lapang Sasar Subang, hari ini.

Penembak negara berusia 25 tahun itu cukup konsisten dan fokus pada saingan akhir itu dengan mencatatkan 238.30 mata untuk merangkul emas.

Xuan Vinh, 42, meraih perak dengan catatan 234.10 mata manakala penembak Myanmar, Kyaw Swar Win merangkul gangsa (214.80 mata).

“Saya gembira kerana dapat menewaskan juara Olimpik untuk memenangi emas. Saya mendedikasikan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga keluarga saya.

“Tidak lupa juga kepada datuk saya yang tampil memberikan sokongan buat kali pertama di sini,” katanya yang gagal memberikan persembahan memberangsangkan di Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

Johnathan turut mendedikasikan kemenangannya kepada jurulatih dari Korea Selatan, Park Sang Soon dan Park Cheol Wan.

“Prestasi saya meningkat sejak berlatih di bawah mereka yang dilantik sebagai jurulatih hujung tahun lalu.

“Perubahan yang mereka lakukan membabitkan kekuatan mental yang menjadi penekanan utama mereka ketika latihan.

“Sebelum kedatangan mereka, kami hanya fokus kepada teknik menembak saja,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *