Kecoh restoran bila pemain bola sepak Thanabalan muncul!

Posted on
KEHADIRAN wira Malaysia N Thanabalan di sebuah restoran awal pagi tadi mencetuskan kekecohan.

Penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu datang ke restoran berkenaan untuk bertemu dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir dengan Indonesia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran Thanabalan, semua pelanggan yang kebanyakannya datang selepas menyaksikan perlawanan itu bersorak dan mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara mara ke final.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk penyokong berswafoto dengan Thanabalan sehinggakan dia tidak sempat duduk.

Bagi pemain berusia 22 tahun itu, dia tidak menganggap dirinya sudah bergelar bintang namun menghargai segala sokongan yang diberikan oleh penyokong.

“Saya terkejut juga bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk mak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium.

“Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tapi saya tak anggap diri saya seperti ‘superstar’ (bintang) namun saya hargai segala sokongan yang diberikan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Kerana keadaan semakin sesak dengan ramai pelanggan mahu bertemu dengannya, Thanabalan terpaksa beredar bersama keluarganya ke tempat lain.
 


Thanabalan mendapat perhatian selepas menyumbat gol keramat ke atas Indonesia untuk membawa Malaysia ke final bertemu Thailand, Selasa ini.

Di media sosial pula, Thanabalan mula menjadi buah mulut netizen dan telah mencuri hati jutaan rakyat Malaysia.

Malah, namanya menjadi trending seluruh dunia di platform media sosial Twitter sejak malam tadi.

Manakala di Instagram pula, ramai netizen mula memakai jersi nombor 12 seperti mana yang disarungkan oleh pemain bola sepak itu.

Ada juga sebilangan netizen yang merakamkan swafoto menggunakan aplikasi pengubahan wajah untuk memiliki jambang persis Thanabalan.

“Hari ini nickname abang “N. Thanabalan” sempena dia menaikkan nama Malaysia semalam, jambang abang terus panjang macam dia! Tahniah Team Harimau Malaya, Tahniah,” kongsi salah seorang pengguna Instagram, @fairusmusa.
 

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *