Kawasan Pencarian Lelaki Hilang Diperluaskan

Posted on

GUA MUSANG – Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki, Lau See, 69, yang dilaporkan hilang di kawasan Hutan Simpan Lebir, Aring 8 di sini sejak Isnin, sedang dipergiat dan kawasan pencarian diperluas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Pegawai Bomba Anuar Abas berkata seramai 23 anggota daripada beberapa agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung terbabit dalam operasi berkenaan.

“Hari ini kami akan memperluaskan gerakan mencari mangsa ke kawasan tiga kilometer persegi sekitar kawasan mangsa dilapor hilang,” katanya kepada pemberita di sinihari ini.

Anuar berkata dalam operasi semalam yang tamat pukul 6 petang, pihaknya belum menemui sebarang petunjuk kedudukan Lau tetapi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya masih berada dilokasi yang ditinggalkan.

Beliau berkata pelbagai barang milik Lau di dalam kenderaan itu tidak terusik kerana kunci dipercayai ada pada lelaki itu. Beliau berasal dari Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Isnin lepas, Lau bersama dua penduduk Orang Asli masuk ke kawasn hutan simpan berkenaan untuk meninjau bagi kerja mengukur sempadan.

Pandu Amat, 45, bersama anak lelakinya menyedari kehilangan mangsa ketika perjalanan keluar dari hutan itu pukul 5 petang apabila mendapati Lau tidak berada di kenderaan. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *