Kavita Devi Penggusti WWE Wanita Pertama India

Posted on
“Bagi saya, status sebagai wanita tidak seharusnya menghalang saya untuk menjadi sesiapa pun yang saya inginkan.

Kavita

“Semasa berada di dalam gelanggang gusti, saya lupa saya merupakan seorang wanita, seorang ibu dan juga seorang isteri

“Fokus saya hanyalah terhadap perlawanan,” tutur ahli gusti wanita pertama India itu dengan nada tegas.

Kavita Devi, 34, melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai ahli gusti wanita pertama dari India yang diiktiraf oleh syarikat gusti terbesar dan paling berpengaruh di dunia, World Wrestling Entertainment (WWE).

Ia seterusnya melayakkan wanita berambut panjang itu bersaing di peringkat dunia.

Berasal daripada Haryana, India Kavita yang memiliki ketinggian 176 sentimeter itu mengakui berasa cukup gembira atas pencapaian tersebut.

“Saya kini boleh berlatih dan berpeluang cerah untuk bergelar WWE Superstar.

“Tahun lalu, saya bertanding dalam pertandingan Mae Young Classic anjuran WWE dan ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga,” ujarnya.

Salwaar kameez

Kavita mula menjadi perhatian dunia apabila satu video yang memaparkan aksinya sedang bergusti dengan mengenakan pakaian tradisional India, salwaar kameez menjadi tular di media sosial pada bulan September 2017 lalu.

Aksi ganas serta kehebatannya menumpaskan lawan dalam WWE Tryout 2017 di Dubai itu menjadi bualan ramai.

Menurut Naib Presiden Pembangunan Bakat WWE, Canyon Cayman, dia cukup mengagumi kekuatan serta kecergasan Kavita dan yakin bahawa penceburannya dalam WWE akan menjadikan Kavita seorang yang berjaya di dalam arena sukan tersebut.

“Kavita menunjukkan aksi yang cemerlang dalam WWE Tryout 2017 di Dubai. Dia merupakan seorang wanita yang hebat dan memiliki kekuatan yang luar biasa.

“Dia juga mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan gusti dan saya yakin Kavita akan menunjukkan lebih banyak aksi cemerlang kelak,” ujarnya seperti dipetik portal Indian Express.

Kavita dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana di Haryana. Dia juga merupakan seorang pegawai polis dan mula menunjukkan minat terhadap sukan gusti sejak remaja.

“Begitu pun, selepas saya mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak, ahli keluarga melarang saya untuk menceburkan diri dalam bidang sukan, terutamanya sukan gusti.

“Oleh itu, saya memilih kerjaya sebagai seorang pegawai polis,” ujar Kavita.

Begitu pun, minat yang mendalam mendorong Kavita untuk memujuk keluarganya supaya memberikan kebenaran untuknya kembali bergusti.

“Sebagai bukti kesungguhan, saya menghadiahkan ahli keluarga dengan pingat emas dalam acara gusti Sukan Asia Selatan 2016,” ujar Kavita.

Pegawai polis

The Great Khali

Biarpun mendapat pingat emas, Kavita merupakan seorang wanita yang cukup merendah diri dan tidak putus-putus memuji dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada idolanya, Dalip Singh Rana atau lebih dikenali sebagai The Great Khali.

“Kejayaan serta sejarah sebegini tidak mungkin dapat saya lakar tanpa bantuan Khali,” ujarnya.

Sebagai seorang guru, Khali berkata kepada portal berita India Today bahawa dia sudah melihat potensi serta bakat yang dimiliki Kavita.

“Semasa mula-mula melatih wanita berani itu, saya yakin dia akan dipilih untuk menyertai WWE satu hari nanti,” ujar Khali.

Biarpun Kavita kurang berpengalaman dalam sukan gusti, WWE yakin kekuatan fizikal wanita itu akan menjadikannya seorang ahli gusti wanita yang mampu bertahan lama dalam sukan tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Bintang Gusti Paling Kaya Di Dunia!

sumber: kosmo

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *