Kasma Daniel raih tiket wild card pada MotoGP Malaysia

Posted on

PELUMBA Malaysia yang meningkat naik, Kasma Daniel Kasmayudin meraih tiket wild card pada saingan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2017, yang akan berlangsung akhir bulan ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu, yang kini bersaing dalam Kejohanan Moto3 FIM CEV Repsol akan menyertai kategori Moto3 pada perlumbaan di Litar Sepang itu dari 27 hingga 29 Okt.

“Kita baru menerima senarai penyertaan daripada Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) minggu lepas. Sukacita kami mengumumkan dalam senarai itu, nama Kasma Daniel didaftarkan sebagai pelumba wild card untuk MotoGP Malaysia kategori Moto3,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali.

Beliau berkata dengan penyertaan sebagai pelumba wild card, pelumba pasukan Petronas Yamaha Maju Motor, akan mendapat lebih pendedahan dan menjadi kayu pengukur kepada pelumba Malaysia yang lain dalam kejohanan tempatan untuk bersaing di kejohanan dunia.

“Berdasarkan apa yang saya dengar, Kasma Daniel adalah pelumba hebat dalam Kejohanan Cub Prix dan Kejohanan Road Racing Asia (ARRC). Namun, bila anda mula bersaing dalam kejohanan dunia, ia sama sekali berbeza.

“Ia penanda aras yang baik kepada barisan pelumba tempatan. Hanya kerana mereka bagus pada perlumbaan Cub Prix dan ARRC, ia tidak semestinya mereka juga hebat dalam kategori Moto3 pada perlumbaan kejohanan dunia,” katanya.

Kasma Daniel, muncul pelumba termuda merangkul kejuaraan CP130 pada Kejohanan Cub Prix ketika berusia 16 tahun.

Sebelum ini, pelumba paling muda muncul juara dalam kelas perdana pada kejohanan kebangsaan adalah pelumba Moto2 Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah, yang meraih gelaran tersebut ketika berusia 16 tahun pada 2010.

Bakat Kasma Daniel dicungkil Yamaha semasa pelumba muda itu berkecimpung dalam sukan permotoran secara serius, tiga tahun lepas.

Pelumba muda itu dipilih dalam kalangan lima wakil Asia ke tempat asal Valentino Rossi di Tavullia, Itali untuk menyertai program dikenali “The Master Camp” pada Julai lepas.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *