Kanak-kanak perlu diberi kesedaran tentang perilaku jenayah seksual

Posted on

KUANTAN: Kanak-kanak perlu diberi kesedaran tentang perilaku jenayah seksual sejak dari kecil lagi agar mereka tidak menjadi mangsa, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan berkata mereka juga perlu diberikan pendidikan agama yang mencukupi selain diterapkan dengan nilai-nilai moral agar mereka tahu bahawa perbuatan itu bukan sahaja salah dari segi agama tetapi juga merupakan satu perbuatan jenayah.

“Apa yang paling penting masyarakat juga perlu peka dan maklum segera kepada pihak berkuasa jika menyedari berlakunya jenayah seksual dalam kalangan anggota keluarga mahupun di persekitaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hentikan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak peringkat negeri Pahang di sini, pada Ahad.

Seminar berkenaan dianjurkan Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (Teratai), susulan daripada penganjuran peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor bulan lepas.

Adnan berkata, mengikut perangkaan kebangsaan yang diperolehnya, sejak 2010 hingga 2016 sebanyak 6,813 kes penganiayaan dan penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan.

Paling mengejutkan 89 peratus daripada kes jenayah kanak-kanak itu, dilakukan oleh mereka yang dikenali mangsa seperti anggota dan kenalan keluarga, kawan, jiran, orang dewasa di sekolah dan asrama.

Berikutan itu Adnan berharap seminar yang diadakan itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah berkenaan.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *