KAFA Diingat Tak Ghairah Pilih Pemain Ternama

Posted on

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diingatkan agar tidak terlalu ghairah untuk memilih pemain daripada pasukan ternama bagi kejohanan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata ini bagi mengelak KAFA daripada dibebani hutang.

“Kita hanya mahu pemain yang mempunyai rekod semasa yang memuaskan dan boleh memberikan impak baik walaupun bukan nama besar dalam saingan liga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pemain yang menyertai Kelantan musim depan tidak boleh sekadar ‘menumpang’ kepada reputasi lampau mereka, sedangkan prestasi semasa mereka tidak mampu untuk menyumbang kepada kemenangan pasukan.

Mahizi berkata adalah penting KAFA memberi keutamaan kepada sumber kewangannya bagi mengelak masalah dalam membuat bayaran gaji pemain.

Nasib Kelantan musim depan sama ada akan terus kekal pada saingan Liga Super atau tersingkir ke Liga Perdana akan ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Melaka United pada 21 Okt ini. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *