Jepun mungkin destinasi baru

Posted on

Kuala Lumpur: Jepun dijangka menjadi destinasi baru jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan selepas beliau menghantar notis peletakan jawatannya, Sabtu lalu.

Difahamkan, Jeremy mendapat tawaran untuk membimbing pemain negara matahari terbit itu sejak awal tahun lalu dan beliau dijangka diberi peranan untuk membangunkan pemain beregu campuran Jepun.

“Park Joo Bong (ketua jurulatih Jepun) sudah lama mahukan Jeremy bersama mereka. Kalau kita tengok, Jepun tidak mempunyai masalah untuk acara beregu lelaki atau wanita.

“Namun, acara beregu campuran dilihat masih ketinggalan berbanding beregu lelaki dan wanita.

“Jadi, ia akan menjadi tanggungjawab Jeremy bagi membangunkan pemain dalam acara berkenaan apabila mula bertugas di Jepun nanti,” kata seorang sumber ketika dihubungi, semalam.

Jeremy, 38, menyerahkan notis peletakan jawatan selama tiga bulan dan akan mengakhiri tugasnya bersama Persatuan Badminton Malaysia hujung tahun ini.

Walaupun sudah lebih dua tahun menggalas tugas sebagai jurulatih beregu lelaki, namun acara beregu campuran sememangnya tidak asing buat Jeremy.

Beliau pernah ditugaskan melatih pemain beregu campuran negara dan hasilnya, beliau berjaya meningkatkan tahap prestasi gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kredibiliti Jeremy sebagai jurulatih beregu lelaki pula sememangnya sudah terbukti apabila berjaya membawa gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, Jeremy ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya masih mengambil pendekatan berahsia biarpun mengaku sedang mempertimbangkan beberapa tawaran yang diterimanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *