Isu Tahfiz DQI: Ibu Bapa Tolong Hentikan!

Posted on

MINGGU lalu, Pengetua Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dituduh cuba menyeleweng wang derma orang ramai kepada mangsa kebakaran yang mengorbankan 23 mangsa termasuk dua tenaga pengajar.

Sasaran tuduhan ialah Pengetua DQI, Mohd Zahid Mahmood. Laporan sebuah portal, memetik sumber ibu bapa dan waris, sebagai pihak yang mempertikaikan cara Mohd Zahid mengendalikan pembahagian derma tersebut.

Laporan cenderung menyifatkan Mohd Zahid sebagai tidak bertanggung jawab. Malah, menuduh pengetua itu cuba menyembunyikan jumlah kutipan sebenar, serta hak pemilikan ibu bapa dan waris terhadap pengagihan wang derma itu.

Mohd Zahid tampil menjawab pada media dengan menyatakan: “Semua kutipan kini diaudit pihak bertauliah dan pembahagian sedang diuruskan peguam yang dilantik.”

Mohd Zahid menafikan, DQI berniat mengaut semua wang kutipan. Katanya, sebagai pemegang amanah, DQI bertanggung jawab memastikan semua derma diaudit secara berdokumen dan disahkan jumlahnya.

Manakala, soal pembahagian akan diuruskan oleh peguam dilantik bagi menjamin proses agihan mengikut terma undang-undang.

Belum reda isu duit, semalam staf DQI, dituduh pula telah menyeleweng derma makanan yang diberikan orang ramai kepada pusat tahfiz tersebut.

Hari ini, DQI menafikan tuduhan itu dengan menjawab pada portal yang melaporkan tuduhan tersebut.

DQI menafikan dakwaan wujud perbuatan menyimpan makanan dan wang untuk diri sendiri, atau menyembunyikan hak tersebut daripada pelajar dan ibu bapa.

Melalui dua tuduhan ini, terdapat ibu bapa yang cuba menyeret maruah staf DQI ke tahap paling teruk dengan tuduhan: “Dapur sekolah itu dipenuhi dengan barangan makanan yang tidak diagihkan kepada pelajar, dan pihak sekolah menentukan apa dan bila makanan boleh diberikan kepada pelajar.”

Malah, staf DQI turut dituduh mengambil barangan makanan untuk diri sendiri.

Kata staf DQI: “Mereka salah faham. Sekolah ini mempunyai wang dan makanan mencukupi. Jadi, saya beritahu penderma, lebih baik mereka beri kepada sekolah tahfiz lain.”

Ini menafikan tuduhan ibu mangsa: “Saya tidak membawa makanan. Jadi saya ke dapur (sekolah) dan makanan dapur itu kelihatan seperti kedai runcit.”

Lebih serius, ibu itu menuduh: “Tiada orang di dapur. Jadi saya ambil beberapa makanan untuk anak saya. Tetapi saya lihat anak saya ketakutan. Apabila ditanya apakah yang tidak kena. Jawabnya,‘Ustaz tidak benarkan kami mengambil apa-apa makanan.’”

Staf DQI menganggap tuduhan itu satu penipuan. Pihak sekolah tidak menyimpan apa-apa stok makanan dan anak-anak tahfiz bebas untuk mengambil apa sahaja yang ada di dapur.

Selepas frasa sedih akibat tragedi kebakaran pada 16 September lalu, krisis ibu bapa dan pengurusan DQI kini meleret ke frasa paling memalukan. Ia menggambarkan wujudnya fitnah terancang untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti Mohd Zahid selaku pengetua.

Sebagai umat Islam kita tersentak dengan kejadian tuduh menuduh ini. Bermula soal wang, kini meleret sampai ke isu titik bengik babitkan makanan. Seakan-akan, kes DQI ialah kes mangsa kebuluran dan bukan mangsa kebakaran.

Kerana tuduhan sering datang daripada pihak yang mendakwa ibu bapa dan waris, atas nama Islam, kita merayu ia dihentikan.

Insyaallah dapat duit nanti, bukan takat beras dan makanan, pasti cukup untuk melancong ke Paris atau Los Angeles juga. -MYNEWSHUB.CC

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *