Isteri Kecewa Dan Buntu Apabila Menyaksikan Suami Tersayang Berasmara Dengan Lelaki Di Bilik Tidur

Posted on
Assalamualaikum.

Saya sebenarnya bukannya ingin membuka pekung di dada tetapi ingin berkongsikan pengalaman saya ini agar apa yang saya lalui tidak akan berlaku lagi pada isteri-isteri yang lain di dunia ini. Saya tidak pernah menyangka akan menghadapi detik sukar sebegini, sesungguhnya apa yang dikurniakan kepada saya adalah sesuatu yang telah tertulis untuk saya, saya redha, Syukur Ya Allah di atas apa yang kau berikan padaku.

Saya cuba pendekkan cerita agar mudah difahami dan dibaca oleh semua orang. Sebelum itu, anda perlu menilai dan jangan sekali-kali berfikir secara negatif mengenai apa yang saya ceritakan ini. Niat saya hanya satu, saya ingin meluahkan apa yang telah terbuku di hati saya bertahun lamanya semenjak perkahwinan saya 4 tahun yang lalu.

Alam Percintaan Yang Sangat Indah

Gambar sekadar hiasan.

Semuanya bermula di sebuah restoran KFC. Pada ketika itu saya berusia 25 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian saya di UiTM, Perlis dengan segulung ijazah yang tidak seberapa. Saya ke restoran berkenaan bersama sahabat baik untuk makan kerana terlalu lapar.

Ketika sedang makan, ada dua orang lelaki berhadapan dengan meja yang saya sedang makan. Saya tidak boleh mengelakkan pemandangan saya ke arah lain kerana keadaan saya dan lelaki berkenaan bertentangan. Dia memberikan senyuman manis yang belum pernah saya lihat daripada lelaki lain sebelum ini. Saya membalas senyuman itu dengan rasa malu.

Apabila saya dan sahabat telah selesai makan, kami ingin keluar dari restoran berkenaan untuk pergi membeli belah. Secara tiba-tiba lelaki yang bertentangan dengan saya tadi bingkas bangun dan memberikan salam serta bertanyakan sama ada saya sudah ada yang punya atau pun tidak.

Dalam keadaan malu itu, saya seperti tidak boleh menipu apabila melihat kejujuran dan senyumannya. Saya menjwab saya masih keseorangan, lalu dia menyeluk poketnya dan memberikan saya satu kertas yang tertulis nombor telefonnya sambil meminta nombor telefon daripada saya. Saya tidak tahu mengapa saya hanya menurut permintaan dia dan memberikan nombor telefon saya kepadanya.

Selepas pertemuan itu, lelaki berkenaan yang mengakui namanya Syam sering menghubungi saya setiap hari sama ada pagi, petang, siang dan malam tanpa henti. Kami berkongsikan apa saja pendapat dan masalah. Saya begitu senang dengan caranya yang suka merendah diri, mengambil berat dan banyak lagi yang membuatkan saya tertarik kepadanya. Sebelum ini saya tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki, Syam adalah lelaki pertama yang memberikan saya harapan untuk hidup bersama.

Setelah perkenalan kami berlarutan selama dua tahun, saya tidak pernah nampak apa yang pelik dalam dirinya, malah kami saling menyayangi dan pergi ke mana saja bersama. Pada hujung minggu, menjadi rutin kami keluar bersama sama ada membeli belah, menonton wayang dan makan-makan, sama seperti pasangan lain.

Perkahwinan Kami Direstui Keluarga

Kedua ibu bapa kami telah merestui hubungan kami dan ayah saya sering bertanyakan tentang bilakah Syam ingin memperisterikan saya. Pada mulanya, Syam memberitahu bahawa dia belum bersedia tetapi setelah dipujuk oleh ibunya yang sangat baik hati itu, akhirnya Syam bersetuju untuk melamar saya sebagai isteri. Semua persiapan sejak dari masa bertunang sehinggalah majlis perkahwinan diuruskan oleh Syam sendiri dan keluarganya sehinggakan saya dan keluarga seperti tidak perlu melakukan apa-apa pun.

Kami akhirnya telah disatukan pada bulan Februari 2013 dan ketika itu saya berusia 27 tahun manakala suami saya 31 tahun. Majlis perkahwinan kami sama seperti majlis kahwin orang lain yang dipenuhi dengan kemeriahan sanak saudara, rakan taulan dan orang ramai.

Di awal perkahwinan, saya sangat bahagia dan tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan dengan alam perkahwinan. Ibu banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya bagaimana untuk menjaga hati suami serta cara untuk mengambil hati suami melalui masakan. Saya tidak mengalami kesukaran untuk memasak kerana sangat meminati bidang masakan disebabkan ibu saya seorang peniaga restoran.

Suami saya, Syam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dengan baik sekali, malah saya tidak melihat di manakah cacat celanya. Walau bagaimanapun, setelah 3 bulan berkahwin Syam sering out station memandangkan pekerjaannya sebagai seorang Jurutera menuntut beliau untuk berkerja di luar kawasan. Terkadang sampai seminggu dan pernah sekali dua Syam terpaksa meninggalkan saya selama dua minggu dan tidak pernah terlebih daripada dua minggu.

Pengikat Kasih Sayang Suami Isteri

Setelah setahun kami berkahwin, saya telah dikurniakan zuriat pertama seorang bayi perempuan yang sangat comel dan kami berikan nama kepadanya sebagai Aimi Zahra dengan panggilan Zahra. Zahra amat disenangi Syam dan Syam begitu menyayangi Zahra sehinggakan sekiranya Syam tiada di rumah Zahra akan menangis dan mencari-cari suami saya itu.

Selepas kelahiran Zahra, saya dan suami tidak pernah bergaduh besar dan hanya beberapa salah faham saja yang berlaku. Syam masih seperti biasa kerana setiap bulan dia akan out station selama seminggu dan dia tidak pernah menunjukkan apa-apa perubahan cuma apa saya perasan, setiap kali dia pulang dari out station, Syam kelihatan agak dingin pada mulanya dan selepas 3 atau 4 hari dia pulang barulah dia kelihatan seperti biasa semula.

Rahsia Suami Terbongkar Akhirnya

Mulanya, saya fikirkan mungkin dia mengalami tekanan di tempat kerja atau mempunyai masalah tertentu berkaitan dengan kerjanya, namun, setiap kali dia pulang dari out station, dia masih dalam keadaan begitu dan saya mula mengesyaki sesuatu pasti ada sesuatu di sebaliknya. Saya mengambil keputusan untuk bertanya hal demikian kepadanya.

Gambar sekadar hiasan.

Satu hari selepas dia balik dari out station, saya mengambil semua pakaian kotor dari begnya. Setelah saya mengumpul semua baju dan ingin menyimpan beg, tiba-tiba telefonnya bergegar dan tiada bunyi nada deringan. Pada ketika itu Syam sedang berada di bilik air dan mandi. Telefon masih bergegar beberapa kali, saya fikir mungkin ada hal penting dari seseorang yang ingin bercakap dengannya. Saya dengan tiba-tiba terus mencapai telefon itu, tetapi telefon itu terus berhenti bergegar. Saya memegang telefonnya dan perasaan ingin tahu terlalu tinggi memandangkan Syam berubah kelakuannya setelah pulang dari out station.

Saya cuba membuka telefon bimbitnya, namun memerlukan kata kunci dan saya teringat saya pernah ternampak dia menggunakan kata kunci dari nombor plat keretanya pada satu ketika dulu. Saya cuba membukanya dan tiba-tiba berjaya. Saya melihat satu persatu mesej yang ada di dalamnya dan bukan niat saya untuk mengambil tahu tetapi saya rasa tidak salah seorang isteri yang ingin mencari jawapan di sebalik kekusutan yang berlaku.

Semua mesej berkenaan tiada yang mencurigakan dan kesemua mesej itu adalah dari kawan-kawan lama dan rakan sekerjanya. Saya terus membuka aplikasi Whatsapp, tiada yang pelik yang saya temui tetapi semua perbualan daripada video call dan voice call. Saya tidak mengesyaki apa-apa.

Entah bagaimana hati saya terlintas untuk melihat gambar-gambarnya dan saya terus membuka satu persatu. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat beberapa keping gambar swafoto suami saya dalam keadaan bogel dan amat menjijikkan. Saya berasa seperti sesuatu yang tidak kena. Saya terus melihat lagi kesemua gambar berikutnya dan saya dapati beberapa gambar lagi yang menunjukkan suami saya bersama seorang lelaki yang agak berumur tetapi sado bersamanya di atas katil dalam selimut di dalam bilik yang kelihatan seperti hotel.

Saya tertanya mengapa mereka mengambil seperti itu dan lelaki berkenaan tidak menunjukkan dia seperti perempuan atau lembut dan sebagainya. Lelaki itu kelihatan sasa dan bermisai. Saya masih memikirkannya dan cuba memujuk hati agar tidak berprasangka.

Pada malam itu saya ingin bertanyakan hal ini kepadanya, ketika itu selepas waktu makan malam dan dia sedang menonton TV sambil melihat telefon bimbitnya. Saya terus bertanyakan hal tersebut dengan suara dan nada yang saya fikir adalah sangat baik untuk seorang isteri amalkan. Soalan saya, mengapa kelihatan dingin selepas pulang dari out station? Adakah awak stress dan siapakah lelaki yang tidur dengan awak di hotel itu?

Namun, selepas soalan diajukan, muka suami saya itu secara tiba-tiba berubah menjadi merah dan wajahnya untuk pertama kali selama saya berkahwin dengannya, dia kelihatan sangat marah dan bengis seperti tidak menyukai soalan saya. Saya terdiam seketika dan merasa takut. Dia juga mendiamkan diri sambil memandang saya dengan marah. Saya meminta maaf kepadanya dan menerangkan bahawa saya tidak mahu campur urusannya tetapi sebagai isteri saya ingin tahu dan mungkin saya boleh menolongnya. Dia terus bingkas bangun dan memarahi saya sambil berkata itu adalah hal peribadi dia dan saya tidak perlu tahu semua itu, malah dia juga berkata sekiranya saya tidak suka tinggal bersamanya saya dipersilakan keluar sekarang.

Saya menjadi keliru dan memikirkan salahkah saya bertanyakan soalan berkenaan sehinggakan dia memarahi saya begitu. Saya menangis dan meminta maaf padanya, tetapi dia tidak mengendahkan percakapan saya lalu terus masuk ke bilik tidur. Tiba-tiba dia keluar dari bilik tidur dengan berpakaian kemas lalu terus ke luar pergi ke kereta tanpa berkata-kata.

Suami Bersikap Dingin

Sejak malam kejadian itu, Syam semakin dingin dengan saya dan dia akan pulang ke rumah sesuka hatinya. Sehinggakan kadang 3, 4 hari barulah dia pulang dengan wajah yang masam mencuka. Apabila saya bertanya dia pasti akan memarahi saya. Saya dan suami saya sering bergaduh apabila bertentang mata. Zahra pula seperti dianaktirikan, dia langsung tidak mengendahkan rengekan Zahra meminta untuk didukungnya. Apabila Zahra merangkak pergi kepadanya dia terus bangun meninggalkan Zahra terpinga-pinga. Saya menangis dan terus menangis melihat keadaan ini, sayunya di hati apabila anak yang saya sayangi itu meminta untuk disayangi tetapi diendahkan oleh ayahnya.

Hari berganti hari dan bulan berganti bulan, kini telah hampir setahun Syam tidak pernah menyentuh saya semenjak kejadian itu. Saya tidak memberitahu kepada sesiapa termasuk ibu bapa dan mertua kerana ingin mempertahankan rumah tangga saya. Jauh di sudut hati saya, saya amat menyayangi Syam kerana layanan seorang suami daripadanya mungkin tidak ada pada lelaki lain. Saya sayangkan dia.

Ayah Pergi Untuk Selamanya

Satu hari ibu menelefon dan menyuruh saya pulang ke kampung dengan segera kerana ayah sakit tenat akibat kemalangan jalan raya. Saya terus memberitahu Syam dan menelefonnya namun dia tidak menjawab panggilan saya seperti biasa walaupun hampir 10 kali saya membuat panggilan itu. Disebabkan Syam tidak menjawab panggilan, saya menghantar mesej kepadanya dan memberitahu saya harus pulang ke kampung dengan segera. Dia menjawab mesej dengan jawapan hanya OK sahaja.

Saya terus bergegas pulang ke kampung pada petang itu dengan memandu sendirian dan saya bernasib baik kerana boleh memandu serta tidak sia-sia mengambil lesen memandu semenjak belajar di kampus dulu. Ketika dalam perjalanan ke kampung saya di Pahang, saya menerima satu mesej daripada Syam yang menyuruh saya memberitahu kepada keluarga saya bahawa dia tidak dapat balik sama kerana terlalu sibuk dan berada di luar negara, saya akur dan turut sama membohongi ibu dan ayah. Saya membalas mesejnya itu dan memberitahu mungkin saya akan berada di kampung beberapa minggu atau sebulan memandangkan ibu juga tidak sihat dan hanya saya seorang anak perempuannya manakala yang lain adalah lelaki.

Setelah sampai di kampung saya menerima berita buruk apabila ayah telah disahkan telah meninggal dunia setelah saya berada di depan matanya. Hebatnya kuasa mu Ya Allah, setiba saya di depan ayah dan saya mencium tangannya serta mencium dahinya, dia sempat merenung saya sambil tersenyum lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sedihnya hati ini apabila ayah pergi meninggalkan kami semua di saat saya sangat kecewa. Terima kasih ayah kerana membesarkan saya dan adik beradik lain.

Setelah seminggu ayah pergi, Syam masih juga belum datang untuk menziarahi keluarga saya atau pusara ayah. Walaupun telah beratus kali saya menghubunginya dan menghantar mesej, Syam seolah tidak mempedulikan mesej-mesej saya. Saya ada memberitahu dia bahawa saya mungkin akan tinggal di kampung selama sebulan tetapi dia langsung tidak membalas mesej.

Ketika hampir dua minggu saya berada di kampung saya mendapat satu panggilan daripada Astro bahawa ada tunggakan yang belum dibayar dan mungkin Syam langsung tidak membuat pembayaran bil-bila lain yang berkaitan. Saya akhirnya mengambil keputusan balik ke rumah di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan bayaran bil-bil yang tertunggak. Saya terpaksa meninggalkan ibu kerana ibu tidak mahu mengikut saya.

Tepat sekali jangkaan saya, apabila saya sampai di rumah saya dapati semua bil yang berada di dalam peti surat langsung tidak diusik dan kesemuanya masih belum dibayar. Saya terus keluar dari rumah untuk ke bandar bagi membuat pembayaran semua bil itu. Selama ini memang saya yang menguruskan pembayaran semua bil di rumah dan suami saya hanya memasukkan ke dalam akaun saya setiap bulan.

Setelah selesai berurusan di luar, saya dengan Zahra terus balik ke rumah dan apabila sampai di depan rumah saya dapati ada satu kereta yang tidak pernah saya lihat selama ini di dalam pagar yang membuatkan saya terpaksa letakkan kereta di luar kerana ruang kereta saya tidak boleh memasuki pagar. Saya tertanya-tanya siapakah pemilik kereta itu dan setahu saya kereta milik suami saya hanya satu dan saya fikir, mungkin dia telah menukarkan kereta baru.

Sampai di rumah saya dapati pintu depan tidak berkunci dan dibiarkan sedikit terbuka dan suasana di dalam rumah ketika itu sunyi sepi. Saya terus masuk rumah dan letakkan Zahra yang sedang nyenyak tidur pada ketika itu. Saya berkata di dalam hati, Syam sedang tidur kerana keletihan seharian berkerja.

Suami Berasmara Dengan Lelaki

Saya terus menuju ke bilik tidur dengan niat untuk menukarkan baju dan melihat sama ada Syam sedang tidur atau apakah dia lakukan pada ketika itu. Setibanya saya di depan pintu bilik yang juga tidak berkunci itu, saya mendengar bunyi suara seperti orang yang sedang dalam kesakitan. Saya cuba membuka pintu perlahan-lahan.

Alangkah terkejutnya saya apabila di hadapan mata saya ada dua orang lelaki yang sedang berbogel dan membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang lelaki itu. Saya sangat-sangat terkejut kerana suami yang selama ini saya kasihi sedang berasamara dengan seorang lelaki yang agak berumur. Ya Allah, apakah semua ini dan mengapakah aku harus menerima ujian yang begitu hebat seperti ini?

Saya masih tergamam dan tiba-tiba Syam ternampak saya sedang tercegat melihat kelakuan mereka berdua. Saya menangis dan terus menangis sambil beredar dari bilik tidur, lalu mencapai Zahra yang sedang tidur dan terus ke kereta. Saya memasuki kereta dan diikuti Syam datang lalu mengetuk cermin kereta sambil menangis. Dia menyuruh saya mendengar apa yang ingin dia cakapkan dan saya tidak sanggup lagi memandang Syam yang saya anggap begitu jijik melakukan perbuatan terkutuk itu.

Saya terus memandu dan beredar dari rumah sambil dikejar oleh suami saya dari belakang tanpa memakai selipar. Saya terus memandu laju dan Syam telah hilang dari pandangan. Saya matikan telefon bimbit selepas beberapa kali Syam cuba menghubungi saya. Saya masih lagi menangis dan terus menangis, saya tidak tahu ke mana harus saya pergi dan terus memandu tanpa hala tuju. Kecewanya saya pada ketika itu Allah saja yang tahu.

Akhirnya saya pergi ke rumah abang saya di Cheras. Pada ketika itu hanya kakak ipar yang ada di rumah. Kakak bertanyakan kepada saya mengapa mata saya membengkak dan mengapa menangis? Saya hanya menjawab saya bergaduh dengan Syam dan ingin berada di luar sementara waktu. Saya tidak tahu dan buntu apa yang harus saya lakukan. Saya tinggal di rumah abang saya selama dua hari dan ingin balik ke kampung.

Sehingga sekarang saya masih berada di kampung dan belum menceritakan kepada sesiapa pun. Syam sehingga hari ini masih lagi menghubungi saya dan menghantar pesanan ringkas dengan pesanan agar saya tidak memberitahu kepada sesiapa.

Menurut Syam lagi dia akan melepaskan saya dengan cara baik sekiranya perlu. Bagi saya untuk apa lagi sekiranya saya bersama dia seorang lelaki gay sedangkan saya sendiri telah menyaksikan di depan mata saya sendiri apa yang telah Syam lakukan. Sejak itu saya membenci Syam dan sangat jijik untuk bertemu dengannya. Apabila dia datang ke rumah ibu saya langsung tidak keluar dari bilik walaupun ibu menasihatkan saya dan Syam terus pulang begitu saja.

Saya akan meminta cerai darinya sekiranya dia tidak melepaskan saya dan mungkin saya perlu menceritakan perkara ini di mahkamah dengan menyatakan sebab mengapa saya ingin bercerai. Sesungguhnya saya amat menyesali perkahwinan ini, namun saya redha kerana semua ini adalah kehendak Allah SWT dan saya akan meneruskan kehidupan saya bersama anak yang disayangi.

Semoga semua isteri-isteri yang berada di luar sana menjadikan kisah dan cerita saya sebagai pengajaran. Bagi saya tidak salah kalau kita terlalu mengambil tahu apa aktiviti dan apa saja suami lakukan ketika mereka berada di luar. Sekian.

Isteri Yang Kecewa

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *