Isteri didapati mati akibat ditekan di leher

Posted on

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa wanita berkaitan kejadian kematian empat beranak di rumah mereka di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, di sini, mendapati wanita itu mati akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, hasil bedah siasat dikeluarkan semalam turut mengesahkan suami wanita itu meninggal dunia disebabkan menggantung diri menggunakan kain.

“Hasil bedah siasat terhadap isteri, P Jeya, 46, mendapati terdapat kesan kecederaan yang tidak jelas pada kulit leher yang mana terdapat bintik-bintik merah pada tisu otot leher, bibir dan mata yang boleh berlaku disebabkan oleh tekanan objek lembut seperti bantal atau kain yang signifikan yang ditekan pada mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Noor Hashim berkata, anak lelaki dan anak perempuan pasangan itu juga didapati mempunyai kesan jerut pada leher yang konsisten dengan barang kes dijumpai iaitu tali pinggang kecil yang dipercayai digunakan untuk menjerut mereka.

Beliau berkata, polis masih mengumpul maklumat mengenai kejadian, namun, sehingga kini mendapati tiada individu lain disyaki terlibat dalam kes itu.

Katanya siasatan turut mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk ke dalam rumah keluarga berkenaan.

“Hasil laporan orang ramai mendapati si suami R. Pubalan, 52, yang merupakan pemborong kecil minuman keras mempunyai masalah berkaitan perniagaannya yang tidak berjalan lancar dan banyak mengeluarkan belanja untuk membiayai rawatan penyakit isterinya, sejak kira-kira empat tahun.

“Siasatan juga menemukan beberapa nota yang menunjukkan si mati (suami) membunuh diri tetapi kita tetap akan terus mengumpulkan maklumat dan akan menyiapkan laporan mengenai kes ini sebelum dihantar kepada koroner,” tambahnya.

Dalam kejadian Jumaat lepas, pasangan suami isteri bersama dua anak mereka itu ditemukan mati di rumah mereka pada 2.30 petang.

Pubalan, ditemukan mati tergantung dengan menggunakan kain putih di siling sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan manakala Jeya yang difahamkan sakit dan menjalani rawatan hemodialisis ditemukan di atas katil berhampiran ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Anak lelaki mereka P. Sharveen, 14, dan anak perempuan, P. Krishna, 9, dijumpai dengan kesan jerutan di leher di dalam sebuah bilik lain.

Mayat sekeluarga itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *