Ini suara hati rakyat [METROTV]

Posted on

“MANSUHKAN Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kawal harga petrol, kurangkan kadar tol, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan kurangkan faedah pembayaran ansuran rumah.”

Itu antara luahan dan harapan rakyat menjelang pembentangan Bajet 2018 Jumaat ini dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.

Jika dilihat semula, apa yang disebut itu hampir sama dengan yang diperkatakan dari tahun ke tahun, tetapi ia tetap menjadi perkara utama yang semakin membebankan kehidupan rakyat.

Pesara, Baraizah Buyong, 50, berkata, kerajaan perlu mencari lebih banyak mekanisme dalam membantu mengurangkan harga barangan keperluan supaya tidak membebankan.

“Kalau boleh kurangkan harga barangan keperluan harian dan untuk penjawat awam, naikkanlah gaji. Kalau untuk pelajar, perlu lebih banyak beri bantuan.

“Kalau harga barangan itu dapat diturunkan sedikit adalah lebih baik atau jangan adakan GST sebab itulah antara perkara yang membebankan,” katanya.

Kakitangan swasta, Amri Din, 32, pula melihat masalah pengangguran adalah antara perkara yang perlu diberi penekanan supaya golongan muda boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kita kena tingkatkan peluang pekerjaan. Kalau tengok zaman sekarang, apabila ekonomi merudum banyak perkara timbul seperti masalah pengangguran.

“Minta tolong kerajaan pertimbangkan dan lihat bagaimana semua sektor dapat memberi peluang kepada anak-anak muda supaya mereka dapat memberi komitmen dalam bidang pekerjaan,” katanya.

Salmah Abdullah, 42, yang juga kakitangan kerajaan turut menyentuh perkara sama iaitu lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan dalam membantu ekonomi rakyat.

“Kerajaan boleh galakkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya menggalakkan orang ramai menceburi bidang perniagaan. Mungkin kerajaan boleh permudahkan proses pinjaman dengan faedah yang rendah.

“Mungkin juga boleh pertimbangkan untuk mengurangkan bayaran ansuran pada pembelian rumah pada kadar yang mampu menerusi faedah yang rendah supaya rakyat Malaysia mampu memiliki rumah,” katanya.

Turut menyentuh isu perumahan, Haikal Iskandar, 43, yang bertugas di sektor swasta mahu kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik pada harga lebih rendah termasuk memansuhkan GST.

“Bagi saya kerajaan patut mansuhkan GST, turunkan harga minyak, jadi harga barang akan turun sekali gus tidak membebankan rakyat memandangkan ekonomi tidak berapa bagus.

“Kerajaan juga perlu buat rumah kos rendah lebih banyak. Kalau nak kata ada (rumah) yang kos rendah itu, harga yang RM300,000 susah nak cari sekarang ini,” katanya.

Penuntut kolej swasta, Nor Ain Nabilah Shaifuddin, 18, turut merasai beban kenaikan kos sara hidup memandangkan kolejnya terletak di ibu negara.

“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang beri pinjaman dan kita patut bayar, tetapi bayaran itu kalau boleh rendah sedikit.

“Lagi satu, kami tinggal di Kuala Lumpur, memang banyak duit kena pakai. Takkan nak susahkan mak ayah, nak belajar pun jadi tidak selesa kerana duit tak cukup,” katanya yang mencadangkan agar diperuntukkan subsidi makanan untuk penuntut sepertinya.

Abdul Latif Mohamad, 27, yang bekerja sebagai jurutera pula mahu kerajaan mengkaji semula kadar bayaran tol.

“Saya nampak ramai yang tertekan kerana kos barangan keperluan terlalu tinggi. Contohnya, kalau yang tinggal di ibu kota, bayaran tol adalah antara kos penting yang perlu diambil kira.

“Kalau boleh, mansuhkan, tetapi saya faham mungkin banyak kesukaran. Kalau perkara itu tidak mampu dilaksanakan, langkah paling awal adalah kurangkan kadar bayaran tol,” katanya.

Pada Bajet 2017, kerajaan memperuntukkan RM260.8 bilion, peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016 dengan RM214.8 bilion saja adalah bagi perbelanjaan mengurus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan membentangkan Bajet 2018 di Parlimen, Jumaat ini selepas turut mengambil kira pandangan rakyat yang disampaikan menerusi laman web www.najibrazak.com.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *