Ini akhlak yang terpuji…

Posted on

“PENGAKHIRAN hidup ayah, saya anggap sebagai Husnul Khotimah (akhir yang baik) kerana pesannya kepada saya supaya memandang orang tua dengan penuh kasih sayang.”

Demikian kata, Mohd Hazery Md Shamsi, 38, kakitangan awam yang perkongsian kisahnya menyuap makanan kepada seorang pesakit warga emas di sebelah katil allahyarham bapanya tular di media sosial.

Mohd Hazery ketika dihubungi hari ini berkata, kisah itu berlaku pada 10 malam, 1 Oktober lalu ketika dia dan ibu menemani bapanya, Allahyarham Md Shamsi Md Kassim, 68, di Hospital Serdang.

“Dua hari sebelum ayah meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung dan gangren, ayah dimasukkan ke wad 7E dan katilnya terletak bersebelahan dengan Uncle Kok, 60-an yang menghidap diabetes.

“Saya dengar bunyi pinggan jatuh dan melihat keadaannya, saya minta izin daripada ibu dan ayah untuk menyuapkan makanan kerana saya lihat tiada keluarganya di sisi. Mungkin sibuk kerana ibu saya kata, kadangkala ada keluarga menemaninya pada sebelah siang,” katanya.

Mohd Hazery kedengaran sebak ketika menceritakan kembali kisah ini, tetapi bersyukur kerana dapat berbakti kepada orang yang lebih tua dan secara tidak langsung kepada allahyarham bapanya.

“Ayah pesan, walaupun berlainan agama, yakinlah bahawa ini adalah sunnah Nabi Muhammad SAW, yang mengatakan supaya menyayangi sesama makhluk tidak kira apa.

“Saya bersyukur di akhir kalam ayah, dia sedia membantu orang lain dengan cara menunjukkan akhlak yang baik walaupun berlainan bangsa,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana dapat memandikan, mengkafankan, mengimamkan solat jenazah dan membacakan talkin untuk allahyarham bapanya yang meninggal dunia pada 3 Oktober lalu selepas menderita sakit berkenaan sejak empat tahun.

Perkongsian status, video dan gambar Mohd Hazery di FB dengan nama Ir Ezry Al-Jazary di kongsi lebih 2,000 kali dengan komen yang memuji tindakannya membantu Uncle Kok.

“Apa yang berlaku pada pengakhiran hidup ayah saya seolah-olah sudah diilhamkan oleh Allah SWT kepada saya kerana pernah bermimpi mengenai pemergiannya tujuh hari sebelum.

“Di sebalik itu, saya terkenangkan situasi ketika saya menyuap mihun goreng berharga RM4 itu kepada Uncle Kok, bagaimana boleh berkongsi dengan allahyarham ayah saya. Alhamdulillah,” katanya.

Mohd Hazery cuba melawat Uncle Kok di wad berkenaan sejurus bapanya meninggal dunia, tetapi warga emas itu tiada di situ dan tidak diketahui sama ada masih di hospital atau pun sudah pulang ke rumah.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *