Idea ketika melancong

Posted on

Keputusan usahawan kosmetik popular yang kini bergelar penyanyi, Datuk Seri Vida merakamkan semula video muzik lagu I Am Me dianggap berbaloi.

Selain tular di laman sosial, muzik video yang membabitkan kos hampir RM1 juta itu menjadi ‘trending’ di YouTube sejak ia dilancarkan minggu lalu.

Lebih membanggakan Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 45, muzik video arahan Ghaz Abu Bakar itu ditonton lebih 500,000 pelayar dalam tempoh empat hari.

Malah, Vida yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perkara dilakukan menyasarkan 100 juta dalam tempoh tiga bulan.

“Saya tidak pernah main-main dengan setiap apa dilakukan. Apabila bercadang menghasilkan lagu, saya berusaha mencari muzik yang sesuai. Selepas itu, saya merancang pula menghasilkan video muzik menggambarkan diri saya.

“Biarlah orang nak kata apa pun kerana ia antara impian saya selama ini. Saya mahu menjadi pencetus revolusi iaitu daripad ahli perniagaan bergelar penyanyi. Malah, saya juga tidak mahu bersikap asal boleh dalam menghasilkan muzik video.

“Bukan diri saya sekiranya yang dihasilkan biasa-biasa saja. Jadi, saya harus memikirkan sesuatu yang jarang dibuat orang. Oleh itu, apabila video muzik pertama siap saya tidak berpuas hati. Disebabkan itu, saya menjalankan penggambaran semula mengikut idea sendiri,” katanya.

Vida berkata, pembikinan video muzik pertama yang dihasilkan KRU Music membabitkan kos produksi mencecah RM86,000.

Apa yang pasti, video muzik kedua I Am Me menjadi video muzik termahal di Malaysia.

“Apa yang dicakap dan dirancang, saya cuba realisasikan. Saya bukannya ‘propa’. Walaupun perancangan menghasilkan video muzik ini hanya tiga minggu, saya berpuas hati.

“Apa yang dipaparkan adalah idea saya ketika melancong di beberapa negara. Malah saya sempat membeli beberapa koleksi baru untuk digunakan.

“Kos produksi membabitkan RM130,000, set cincin dan gelang berlian RM400,000, pakaian dan prop RM80,000, prop tambahan RM30,000 dan beberapa barangan kemas lain bernilai ratusan ribu,” katanya.

Vida turut berkongsi dia menjadikan penyanyi antarabangsa, Katy Perry sebagai inspirasi dalam menghasilkan video muzik berkenaan.

Menangis dikecam

Vida sedia berdepan dengan segala kritikan dan kecaman pengguna laman sosial.

Ketika dia memuat naik pembikinan video muzik lagu itu, Vida dilemparkan dengan kata-kata kesat yang menganggap dia riyak dan menunjuk-nunjuk.

“Banyak tidak tahu yang saya sebenarnya mudah menangis apabila dilemparkan ayat pedas dan keterlaluan. Saya memang tidak boleh terima, tetapi mengambil pendekatan berdiam diri. Saya percaya semakin ramai orang mengata mengenai diri saya, semakin banyak rezeki yang masuk.

“Seperkara lagi yang membuatkan saya terasa apabila ada yang berkata saya ada duit tapi ‘low class’. Bagi saya, tidak mengapa. Mereka berhak berkata dan memberi pandangan masing-masing. Asal saja saya tidak menganggu hidup mereka.

“Pada masa sama, saya tetap bersyukur kerana masih banyak yang memberikan sokongan. Sedikit sebanyak ia membuatkan saya lebih bersemangat menghasilkan yang terbaik,” katanya.

Ada kekasih iras David Beckham?

Kejayaan lagu I Am Me ini mendorong Vida menghasilkan single kedua awal tahun hadapan.

Vida juga yakin lagu kedua itu boleh berjaya seperti single pertama.

“Konsepnya nanti berbeza. Saya tetap yakin ia boleh pergi jauh seperti sekarang.

“Diakui Edry seorang komposer yang boleh memahami jiwa dan keinginan saya. Dia berjaya menjadikan saya seperti sekarang. Lagu I Am Me mencipta fenomena tersendiri. Bukan saja di negara kita, tetapi di beberapa negara Asia Tenggara lain.

“Cuma, bagi lagu kedua belum pasti siapa komposernya. Kalau ada rezeki bekerjasama dengan Edry lagi, saya tak menolak,” katanya.

Pada masa sama, Vida juga terbuka untuk membuat persembahan sekiranya dijemput memberikan ceramah.

“Kebiasaannya saya buat pakej iaitu beri ceramah dan menyanyi sekali. Kalau menyanyi saja, harga saya mahal. Cuma, saya belum yakin untuk menyanyi secara langsung,” katanya.

Ditanya mengenai kekasih hatinya yang dikatakan mirip wajah David Beckam itu, Vida belum sedia untuk berkongsi.

“Sabar, sampai masa nanti saya berkongsi kepada semua. Saya kena simpan dahulu. Saya tidak boleh dedahkan sekarang. Biar dia menjadi kejutan kepada semua.

“Mungkin dalam video muzik lagu kedua nanti saya menggunakan khidmatnya. Bagaimanapun, tunggu dan lihat saja,” katanya yang mengakui lelaki itu jauh lebih muda daripadanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *