Hospital Mata Tun Hussein sasar tingkat hasil menerusi kerjasama dengan Angkasa

Posted on

KUALA LUMPUR: Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH) menyasar meningkatkan hasilnya tahun hadapan kepada RM59 juta daripada RM34 juta yang dicatatkan pada 2016 menerusi kerjasamanya dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa).

THES Capital Sdn Bhd, anggota THONEH, menandatangani satu memorandum perjanjian dengan Angkasa hari ini di mana hospital tersebut akan menyediakan perkhidmatan penjagaan mata kepada lapan juta ahli Angkasa pada harga diskaun sekurang-kurangnya lapan peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif THES Zaki Mohd Zakaria berkata kerjasama selama dua tahun itu sejajar dengan misi hospital tersebut untuk mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan penjagaan mata.

Menurutnya, hospital tersebut akan meningkatkan bilangan doktornya, daripada 16 orang pada masa ini kepada 31 orang.

Sementara itu, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi itu akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan belanjawannya bagi menjalankan kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan mata dalam kalangan ahlinya.

“Di bawah kerjasama ini, antara lainnya, ahli-ahli kami akan mendapat kad kesetiaan eksklusif secara percuma, yang akan membolehkan mereka mendapatkan pemeriksaan mata sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, Abdul Fattah berkata, Angkasa telah meminta kerajaan agar menimbang meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998, untuk memudahkan koperasi yang berkaitan terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan.

“Akta tersebut tidak mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan, oleh itu, badan usaha koperasi perlu menubuhkan anak syarikat jika mereka ingin melibatkan diri dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Ini akan mengambil masa dan meningkatkan kos serta kami biasanya akan hilang peluang kami untuk bekerjasama,” katanya.

Beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk melakukan pindaan Akta tersebut bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perkhidmatan yang akan memudahkan mereka menyertai dalam sektor penjagaan kesihatan.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *