Hati saerah kembali terisi

Posted on

Selepas bercerai empat tahun lalu, penyanyi Siti Saerah, 33, akui hatinya terisi semula apabila bertemu dengan kenalan lama, Mohd Sharidan Johari, 30.

Saerah yang juga adik penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza mengakui tidak boleh hidup sendiri selepas bercerai. Hasil perkongsian hidup dengan Saiful Anuar Ahmad Shafie pada 27 Oktober 2010, mereka mempunyai tiga anak, Ummi Umairah, 6, Ahmad Daiyan, 5, dan Ahmad Aisy, 3.

Katanya, selepas bergelar ibu tunggal dia sedar perlukan teman hidup bagi memberikan kata-kata semangat dalam apa jua keadaan.

“Pendek kata, saya memang kena ada pasangan. Malah apabila membuat kemunculan semula dalam industri, saya sudah bersedia berdepan dengan segala gosip.

“Sebaik-baiknya saya bersikap jujur dengan memperkenalkan kekasih hati. Tidak ada apa yang perlu disorokkan. Lambat-laun orang akan tahu juga.

“Lagipun, buat masa sekarang dia membantu saya dalam menguruskan kerjaya seni. Jadi, mahu atau tidak dia memang sentiasa bersama,” katanya.

Berkongsi mengenai hubungan yang terjalin sejak setahun lalu, Saerah berkata mereka sudah berkenalan sejak 2009.

“Kami jumpa semula setahun lalu. Dia masih bujang dan bekerja di sektor kerajaan di Muar, Johor. Kami belum ada perancangan nak berkahwin. Cuma, dalam setiap perhubungan saya sentiasa mengharapkan yang terbaik.

“Dia tahu status saya sebagai ibu tunggal. Pada awalnya risau juga nak berkawan kerana takut dia tidak boleh terima anak saya.

“Sebaliknya, dia mudah mesra dan anak pun rapat dengan dia. Bagi saya, apa yang penting dia boleh terima saya dan anak,” katanya,

Mengenai keputusannya kembali menyanyi, Saerah yang dikenali melalui lagu Hero Wayang berkata, ia didorong oleh minat selain tidak terikat dengan sebarang komitmen.

Pada masa sama, Saerah menafikan dikongkong bekas suami sehingga membuatkan dia menyepi dalam bidang seni.

“Kali terakhir saya rakam lagu pada 2010. Selepas berkahwin dan mempunyai anak, saya banyak menghabiskan masa dengan keluarga dan menjalankan perniagaan. Tidak timbul isu bekas suami larang menyanyi.

“Ketika itu saya lebih selesa menguruskan rumah tangga. Lagipun, apabila sudah ada anak banyak perkara lain perlu diutamakan. Macam sekarang mereka sudah besar ditambah pula saya solo, jadi tidak salah jika kembali aktif menyanyi,” katanya.

Turut menjadi tenaga pengajar tarian zumba di Muar, Johor, Saerah juga akui Siti Nurhaliza juga memberi sokongan penuh dengan keputusan diambil.

“Kak Siti pada mulanya tidak menyangka saya nak kembali aktif menyanyi. Dia kata, kalau memang betul, saya perlu buat sehabis baik dan tidak boleh bersikap sambil lewa atau main-main. Dia mahu saya serius dengan keputusan ini.

“Kak Siti banyak memberi nasihat kepada saya. Jadi penyanyi memang mudah tetapi nak mendapat sokongan dan perhatian peminat bukan mudah. Saya perlu bekerja keras dan berusaha lebih.

“Kak Siti juga tidak mahu saya mempersiakan peluang diberikan. Saya berjanji kepadanya untuk lakukan yang terbaik biarpun sekarang saya menguruskan kerjaya sendiri,” katanya.

Membuktikan usahanya itu, Saerah bakal melancarkan single terbaru, Hanya Restu ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Lagu berentak balada itu buat pertama kalinya diperdengarkan pada acara KL Xtravaganza 3.0 yang diadakan baru-baru ini.

“Saya akui agak kekok juga nak merakamkan lagu ini selepas tujuh tahun tidak menyanyi. Namun, bantuan komposer banyak memudahkan proses rakaman.

“Apa saya boleh katakan, lagu ini memang trend muzik sekarang. Apabila mengambil keputusan kembali menyanyi, saya berfikir perlu muncul dengan muzik yang orang suka.

“Saya begitu teruja merakamkan lagu ini. Bagi saya melodi dan liriknya sangat bagus,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *