Harvey imbas irama lalu

Posted on

Lebih 40 tahun memperhambakan diri pada seni muzik nusantara, Harvey Malaiholo, 55, berasakan sudah tiba masa melakukan sesuatu demi negaranya.

Penyanyi dikenali melalui Jerat itu mahu mengem­balikan ingatan penggiat seni muda terhadap mereka yang terlebih dahulu membangunkan industri muzik di Indonesia.

Katanya, dia mula terfikirkan melakukan perkara itu selepas melihat ramai penggiat muzik muda tidak kenal dengan penyanyi mahupun pemuzik terdahulu.

“Segalanya bermula sewaktu saya mengadakan persembahan jelajah bersama beberapa pemuzik dan penyanyi muda. Sewaktu berbual dengan mereka, hampir sebahagian besar daripada mereka tidak tahu atau kenal dengan karya popular zaman 50-an atau 60-an.

“Hakikatnya, ketika itu ia berupakan zaman kegemilangan industri muzik Indonesia. Disebabkan itu, saya berasa, sebagai penggiat lama dan sudah 40 tahun berkecimpung dalam industri muzik Indonesia, sudah menjadi tanggung­jawab saya mengembalikan ingatan pendengar muda terhadap karya-karya terbaik yang pernah dihasilkan suatu ketika dulu,” katanya.

Bekerjasama dengan kumpulan jaz baru yang menggelarkan diri mereka Shadow Puppet dianggotai Irsa dan Robert, Harvey berjaya menghasilkan album menghimpunkan lagu terbaik dan klasik pada era 1950-an dan 1960-an de­ngan diberikan nafas baru.

Kata Harvey, disebabkan Shadow Puppet dia meng­gemari irama jaz, semua lagu dipilih digubah semula dalam rentak itu.

“Usaha kami lakukan bukan mudah kerana tidak mempu­nyai sumber perpustakaan lengkap mendapat­kan lagu-lagu lama yang diinginkan.

“Saya cuba menghebahkan mengenai projek ini dan bertanya kepada sesiapa yang mempunyai simpanan lagu yang dimahukan, agar datang bertemu untuk kita mendapatkannya.

“Akhirnya selepas puas berusaha mencari, saya berjaya mengumpulkan 10 lagu yang diperlukan. Antaranya karya yang pernah dipopularkan Ismail Marzuki, Rahmad Matofani, Beng Slamet dan Sam Saimon.

“Apabila siap gubahan dilakukan dan didendang­kan semula, album khas itu diberi judul Indonesian Song Book dan penghasilannya didedikasikan kepada negara dan rakyat Indonesia,” katanya.

Harvey yang pernah merakamkan lagu duet bersama Sheila Majid, Begitulah Cinta akui album dihasilkan itu sukar untuk diterima umum, apatah lagi Indonesian Song Book perlu bersaing dengan album jauh lebih komersial dan popular.

Kata Harvey, dia tidak kesah kerana sekurang-kurang sudah melakukan sesuatu untuk industri negaranya.

“Kami cuba pendekatan berbeza untuk menjual album yang dihasilkan dan dipasarkan dua tahun lalu dengan membawanya ke merata festival muzik jaz yang dianjurkan dan disertai saya mahupun Shadow Puppets,” katanya.

Memulakan karier rakaman album pada 70-an dan lebih dikenali menerusi The Big Five, pada awal kemunculannya Harvey terpaksa bersaing dengan Broery Marantika, Margie Segers, Trio Bimbo, Dedy Damhudi dan Anna Mathovani.

Selapas 10 tahun berjuang dan bersabar, Harvey yang sering dibandingkan dengan Broery, mula meniti populariti sekitar 80-an.

Bapa dua anak mening­kat remaja, Joshua Benjamin dan Benjamin Joshua hasil perkahwinan dengan Lolita ini merancang untuk me­ngadakan konsert solo bagi menyambut 40 tahun pembabitannya dalam industri muzik nusantara.

Katanya, dia sedar untuk mengadakan konsert tidak mudah dan memerlukan perancangan rapi. Pada konsert itu juga, Harvey mahu melancarkan lagu baru yang diciptanya sendiri.

“Sepanjang 40 tahun dalam industri muzik, saya hanya menghasilkan dua lagu. Yang pertama Terima Kasih Cinta,” katanya.

Duduk sebaris pemuzik veteran

Melentur buluh biar dari rebungnya, begitulah perkataan tepat untuk Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) yang kini berusia 10 tahun.

MPYO juga membuat pilihan tepat apabila berganding dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (Orkestra RTM) bagi menjayakan Konsert MPYO & Friends di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 7 dan 8 Oktober lalu, sempena ulang tahun penubuhan mereka.

Pengarah Muzik MPYO, Ahmad Muriz Che Rose berkata, usaha dilakukan bersama Orkestra RTM dirasakan tepat kerana pemuzik yang menyertai MPYO kebanyakan mereka masih muda dan peluang menimba pengalaman de­ngan Orkestra RTM yang juga orkestra pertama dan tertua di Malaysia sejak zaman Malaya lagi.

“Sepanjang bersama MPYO, kebanyakan pemuzik yang ada didedahkan pada muzik klasik dan apabila kerjasama ini dijalankan, mereka boleh menimba ilmu baru dengan belajar bagaimana hendak memainkan lagu-lagu lebih moden dan terkini.

“Orkestra RTM pula memang dikenali sebagai pop orkestra, jadi jalinan kerjasama ini adalah tepat. Malah persembahan ditampilkan anggota muda ini juga sangat membanggakan walaupun mereka duduk sebaris dengan pemuzik jauh lebih berpengalaman,” katanya.

Selaku Pengarah Artistik Persembahan, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan, bagi mengetengah kepelbagaian dalam corak persembahan, instrumen lagu popular turut diper­sembahkan berselang-seli dengan nyanyian.

Katanya, artis yang ditampilkan terdiri daripada yang mempunyai kemampuan dan kredibiliti untuk menyanyi diiringi orkestra yang besar hampir 100 pemuzik.

“Untuk menyanyi de­ngan orkestra tidak mudah. Pada saya, Adibah Noor dan Datuk Jamal Abdillah mempunyai pengalaman itu.

“Kami juga memilih Harvey Malaiholo kerana kemampuan penyanyi legenda Indonesia itu mendendangkan lagu berentak jaz dengan baik.

“Orkestra RTM juga pernah bekerjasama dengan Harvey sewaktu mengadakan persembahan pada Festival Jazz Jakarta sebelum ini,” katanya.

Persembahan bermula jam 8.30 malam itu dimulakan dengan instrumental Di Sini Bermula, Air Mata Berderai, Overture Kuala Lumpur dan Pencuri Hati.

Penampilan pemuzik berpengalaman, Razak Rahman bermain clarinet dan saksofon secara solo mendendangkan lagu Dark Eyes dan Jauh-Jauh berjaya memukau penonton.

Begitu juga dengan Jari bermain saksafon untuk lagu Love Never Felt So Good dan Meniti Pelangi berjaya menghilangkan rindu peminat.

Kehadiran bintang muda, Low Zi Yang bermain violin untuk lagu Suatu Masa mendapat tepukan gemuruh penonton.

Jamal pernah me­ngadakan persembahan bersama MPO pada 2015, menyanyikan lagu popularnya secara medley seperti Aku Penghibur dan Kau Lupa Janji serta Ghazal Untuk Rabiah dan Ghazal Asmara.

Adibah memilih lagu keroncong, Hujan dan You Make Me Feel Brand New serta duet bersama Harvey, Begitulah Cinta. Ini kali kedua Harvey dan Adibah berduet menyanyikan lagu itu.

Harvey tampil mendendangkan lagu popularnya seperti Dia dan Jerat serta The Way You Look Tonight dan Meniti Pelangi.

Kata Adibah, dia memilih lagu Hujan kerana ia jarang dibawa berbanding Terlalu Istimewa sedangkan karya yang menjadi runut bunyi filem Mukhsin itu juga dikenali umum.

“Lagu You Make Me Feel Brand New adalah lagu yang saya suka dan saya membuat keputusan untuk menyanyikannya dalam konsert ini,” katanya.

Adibah meluahkan rasa bangganya berpeluang berduet dengan Harvey yang memang diminatinya. Baginya, berduet dengan Harvey ibarat orang mengantuk disorong bantal dan akui memang rindu untuk menyanyi dengan­nya selepas hampir 10 tahun tidak bersua dan menyanyi bersama.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *