‘Hanya salah faham’

Posted on

Seremban: “Kami sedia bermuzakarah dengan jabatan mufti bila-bila masa. Semua yang berlaku kini hanyalah salah faham,” kata Pegawai Penerangan Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (Perahmat), Mohamad Haziff Hamzah menjawab dakwaan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) mengenai amalan Zikir Nafas yang dikatakan menyeleweng, Selasa lalu.

Mohamad Haziff menegaskan, pihaknya juga tidak pernah melancarkan ‘perang’ terhadap jabatan terbabit apatah lagi mendoakan Mufti Datuk Mohamad Yusof Ahmad meninggal dunia seperti dalam satu laman Facebook yang sebenarnya akaun palsu kononnya milik Sheikh Ismail Kassim sehingga mengaibkan pihaknya.

“Kami bukannya Daish yang mahu berperang sebaliknya hanya menyampaikan ilmu syahadah,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam. Hadir sama Timbalan Pengerusi Perahmat, Dr Khadijah Md Jadi.

Menurutnya, bersabit dakwaan JMNS itu, 20 laporan bela diri dibuat ahlinya di Balai Polis Bandar Baru Bangi, Selangor dan di sekitar Lembah Klang pada kelmarin dan semalam.

Menjelaskan mengenai penubuhan itu, Mohamad Haziff berkata, Perahmat berdaftar pada Mei 2013 sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kerja dakwah dan kebajikan melalui 300 ahli di seluruh negara.

“Di peringkat awal, kami menerima sokongan JMNS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Semua aktiviti dianjurkan diberitahu, malah kami menjemput pihak berkuasa (agama) tetapi mereka tidak hadir,” katanya.

Mohamad Haziff berkata, kesulitan timbul apabila Perahmat menjalankan program agama di Aceh, Indonesia pada 2015 dan aktiviti itu dirakam.

“Video itu bagaimanapun disunting yang menampakkan keburukan sehingga menjadi sebab pihak mufti menghalang kerja dakwah seterusnya,” dakwanya.

Katanya lagi, fitnah terbabit menyebabkan permohonan tauliah terhalang dan pihaknya kini gagal melaksanakan banyak program.

“Ingin ditegaskan kami berpegang teguh pada ahli Sunnah Wal Jamaah. Sheikh Ismail Kassim hanyalah seorang daripada enam penasihat kami,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya mengirimkan surat kepada JMNS bagi meminta penjelasan berkaitan halangan dakwah namun wujud banyak ujian.

“Adakalanya mereka tidak membalas atau lambat membalas surat. Kadang-kala masa pertemuan terlalu singkat,” katanya.

Mohamad Haziff berkata, pihaknya sedia dan mahu berunding serta menjelaskan mengenai zikir nafas kepada pihak berkuasa agama tetapi tidak diberi ruang.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *