Hakim tepati ramalan, Juara Da’i

Posted on

Peserta Da’i Pendakwah Nusantara iaitu Hakim menepati ramalan apabila dia diumumkan sebagai juara rancangan itu bagi musim kelima yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini pada malam Ahad.

Hakim atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hakim Othman, 22, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi, tajaan penuh bagi menyambung pengajian dan pakej Umrah untuk dua orang.

Tempat kedua dimenangi oleh Nurul Afiqah Mahmud, 22, manakala Muhammad Fahmi Zulkifly, 19, menduduki  tempat ketiga.

Mereka masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi dan pakej pelayaran penyucian jiwa.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Kazim Elias yang merupakan mursyid rancangan itu.

Setiap peserta diberikan masa lima minit untuk dua tema persembahan iaitu Masyarakat Kini dan soalan spontan yang diberikan oleh juri tetap.

Sebanyak 90 peratus keputusan diadili oleh juri profesional iaitu  Ustaz Zafiri Daud, Profesor Madya Dr. Sharifah Haayati Syed, Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah.

Juri awam pula mewakili markah 10 peratus yang diadili artis termasuklah Norman Hakim, Amar Asyraf, Erra Fazira, Fara Fauzana dan Memey Suhaiza.

Tirai pentas akhir Da’i dibuka dengan persembahan lagu tema Lebaran Kejayaan oleh vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat dan peserta-peserta Da’i musim ini.

Selain itu, penyanyi Black dan Rabbani turut membuat persembahan selingan dengan lagu Dalam Aku sebelum pengumuman pemenang.

Dalam pada penerbit rancangan berkenaan Shukri Ibrahim berkata, Hakim pada mulanya bukanlah peserta yang dijangka berada di pentas akhir pertandingan itu.

Namun katanya, pemuda berkenaan menunjukkan prestasi yang baik pada minggu-minggu seterusnya sehinggalah diumumkan juara.

“Pada mulanya, Hakim bukanlah peserta yang dijangka akan berada di pentas akhir. Namun selepas empat minggu terakhir ini dia bangkit dengan banyak perubahan yang baik.

“Sehinggakan ada peserta lain yang rasa tercabar. Hakim belajar dari pengajian hafazan Al-Quran dan dia tidak ada latar belakang penceramah.

“Tapi dia telah melakukan yang terbaik pada malam ini. Namun perbezaan markah mereka hanya selang 10 peratus sahaja,” katanya.

Sumber: Mstar

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *