Guan Eng arah siasatan menyeluruh dijalankan

Posted on

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengarahkan siasatan secara menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu.

Seramai 14 mangsa disahkan tertimbus, 13 daripadanya pekerja warga asing manakala seorang warga tempatan.

Setakat ini tiga mayat telah ditemukan namun identiti mereka belum dapat dipastikan.

“Kejadian ini satu insiden kemalangan di tempat kerja, tetapi kita tidak boleh mengambil mudah. Siasatan biasa tidak memadai.

“Saya mahu satu siasatan menyeluruh dijalankan untuk memastikan punca sebenar kejadian,” kata Guan Eng yang ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Ditanya jika faktor cuaca memainkan peranan, Guan Eng memaklumkan hal berkenaan terlebih dahulu perlu disiasat memandangkan cuaca baik di lokasi insiden.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya dan kami akan bekalkan pasukan penyiasat dengan semua maklumat yang diperlukan,” tambah Guan Eng.

Guan Eng juga meminta semua pihak bersabar kerana kerja-kerja mencari dan menyelamat mungkin akan mengambil masa yang lama.

“Saya juga mahu Datuk Bandar akan segera menjalankan siasatan ke atas semua tapak projek untuk mengelakkan kejadian sama berulang” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi Sabtu, 14 buruh binaan yang sedang bekerja di lereng bukit di situ tertimbus tanah runtuh yang menimpa mereka dari kecerunan kira-kira 35 meter.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *