Golok Kedah Masih Diminati

Posted on

ALOR SETAR – Peluh yang merenik di dahi dibiarkan begitu sahaja tatkala tangannya terus mengetuk besi yang baru dikeluarkan dari dapur tempa.

Hayunan dan ketukan bertalu-talu menggunakan tukul besi itu jelas menampakkan bahawa Jefri Ghazali menggunakan seluruh kudrat dalam melakukan kerjanya itu.

Setelah puas dengan hasilnya, beliau berhenti lalu membelek-belek besi yang ditempanya lantas tersenyum lebar, tanda puas melihatkan besi itu membentuk mata golok seperti yang diharapkan.

Beliau mencapai hulu yang sudah tersedia lalu dipasang pada mata golok itu sebelum mencapai sarung yang terletak di meja berhampiran lalu menyarungkan golok tadi. Hulu dan sarung berkenaan telah disiapkannya terlebih dahulu.

Sambil membelek-belek golok itu lagi, beliau menyarung dan mencabut daripada sarungnya beberapa kali. Nyata, hulunya kukuh, sarungnya juga muat elok.

“Ini golok Kedah. Tak susah dibuat tapi tak ramai yang membuatnya,” katanya kepada Bernama sambil menujukkan golok yang lengkap bersarung itu.

TULANG EMPAT KERAT

Beliau memberitahu bahawa golok Kedah yang juga dikenali sebagai golok gembala adalah sebahagian daripada pengaruh kerajaan Siam yang menjalinkan persahabatan dengan kerajaan Kedah ratusan tahun dahulu.

Golok yang hulunya diperbuat daripada tanduk kerbau itu banyak kegunaannya selain mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri.

“Daya tahannya tidak perlu dipertikaikan. Ia amat kuat walaupun saiznya hanya sederhana malah amat mudah dikendalikan terutamanya bagi kerja-kerja memotong dahan pokok,” katanya.

Hanya berbekalkan minat yang mendalam, lelaki berusia 43 tahun itu belajar membuat golok melalui pemerhatian daripada orang tua yang mahir besi.

Justeru, usah ditanya mengenai perincian dalam pembuatan golok itu, sama ada proses-proses menempa, mengikis, menyepuh mahupun suhu bagi proses tertentu.

Jefri melakukan segalanya berdasarkan kemahiran mengguna pancaindera dan tulang empat keratnya, tanpa sebarang buku panduan mahupun rujukan. Melalui pemerhatian, pendengaran dan kreativiti, beliau memastikan setiap langkah pembuatan golok dibuat dengan cermat dan teliti.

GUNA CARA TRADISIONAL

Bercerita lanjut, Jefri memberitahu bahawa beliau mencari dan mengumpulkan pelbagai jenis besi yang antaranya termasuk gegelung terpakai daripada kereta dan lori.

Besi-besi yang terkumpul kemudiannya dilebur dalam bekas khas yang dipanggil periuk pada suhu yang sangat tinggi sebelum ditempa menjadikan bentuk mata golok.

“Menempa memerlukan kekuatan tangan untuk mengetuk. Bagi memastikan besi itu ditempa dengan kuat, ia hendaklah sentiasa panas ketika diketuk. Kemudian ia akan disejukkan sebelum diasah supaya mata golok itu tajam,” jelas Jefri.

Proses membuat sebilah golok mengambil masa empat atau lima hari memandangkan beliau banyak menggunakan cara tradisional dengan hanya sedikit penggunaan mesin.

Untuk makluman, suhu bagi kerja besi adalah berbeza bagi sesuatu proses. Suhu meleburkan besi boleh mencapai 1,500 darjah selsius atau lebih manakala suhu proses penempaan pula adalah antara 800-1,100 darjah selsius, iaitu apabila besi itu berwarna merah kekuning-kuningan. Besi tidak boleh ditempa jika tidak cukup panas iaitu ketika masih bernyala biru kerana ianya akan rapuh manakala jika melebihi suhu sewajarnya, ia akan terbakar dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Bermula secara kecil-kecilan pada 2011, beliau mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum dapat bertapak dan ternyata usahanya tidak sia-sia apabila golok buatannya mendapat sambutan sejak empat tahun lepas.

Jefri menjelaskan bahawa golok yang berukuran 33.02 sentimeter (13 inci) itu dulunya kerap digunakan oleh pengendali gajah kerana pada hujungnya terdapat lebihan seperti tanduk kecil yang tajam, berfungsi untuk menggaru belakang telinga gajah.

“Inilah yang membezakan antara golok gembala jantan dan betina di mana golok gembala jantan sering digunakan untuk mengawal gajah.

“Golok gembala betina lebih banyak digunakan dalam aktiviti harian. Jadi, yang betina dan jantan itu merujuk kepada bentuknya dan bukannya orang yang menggunakannya,” jelasnya.

UKIRAN SERLAH KREATIVITI

Jefri yang mempunyai sebuah bengkel pembuatan senjata tradisional di Karangan, Kulim itu berkata, hulu dan sarung golok juga mempunyai keunikan yang tersendiri.

Hulu golok itu yang dipanggil pisang kelat dan diperbuat daripada tanduk kerbau turut menjadi daya tarikan kerana saiznya yang kecil tetapi padu dan mudah dikendalikan. Bagaimanapun, terdapat juga hulu diperbuat daripada beberapa jenis kayu yang keras.

Nilai sebenar golok itu juga dapat dilihat melalui kehalusan seni ukiran pada sarungnya. Umumnya, ia tidak mempunyai motif ukiran yang khusus. Semuanya bergantung kepada kreativiti pengukir itu.

Beliau membuat sarung golok daripada beberapa jenis kayu yang lembut tetapi kuat dan mengukirnya 100 peratus secara tradisional.

“Tak boleh guna mesin sebab hasilnya tak akan sehalus buatan tangan.

“Golok ini mempunyai ukiran berbentuk siput yang timbul, di mana ia bertindak sebagai penyendal agar apabila diselit pada kain tidak melorot jatuh,” jelasnya yang mewarisi kemahiran mengukir daripada datuknya seorang tukang rumah. Antara kayu yang selalu digunakan adalah kayu kemuning atau halban.

HILANG IDENTITI TRADISIONAL

Apabila diamat-amati golok buatan beliau, nyata, hasil tangannya kemas dan paling mengagumkan adalah seni ukiran yang halus pada sarung golok berkenaan.

Harga sebilah golok adalah di antara RM350 hingga RM750, bergantung kepada saiz, campuran besi yang digunakan serta keunikan ukiran pada sarung.

Jefri berkata peralihan waktu menyaksikan kebanyakan golok kini dibuat menggunakan peralatan moden namun beliau tidak gusar kerana permintaan terhadap golok tradisional masih tinggi.

Pengusaha senjata tradisional itu bagaimanapun menyuarakan kekecewaannya kerana terdapat lambakan golok, kerambit dan keris yang dibuat secara komersial di pasaran, yang beliau rasakan sedikit sebanyak menghilangkan identiti peralatan warisan itu.

“Golok yang banyak di pasaran memang murah namun jika dibandingkan, golok yang dibuat secara tradisional lebih berkualiti malah ukiran pada sarungnya juga lebih halus dan berseni.

“Agak mengecewakan kerana orang sekarang membeli peralatan tradisional ini bukan kerana kualiti barangan tetapi lebih kepada harga yang murah. Lama kelamaan, warisan seni membuatnya akan lenyap begitu saja,” katanya. – BERNAMA

[embedded content]

Loading…

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *