Gol Ke Final, Thanabalan Diserbu Peminat Bola Sepak

Posted on

SEMALAM merupakan satu lagi hari bersejarah apabila pasukan bola sepak Malaysia bawah 22 tahun berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan menentang Thailand pada Selasa ini.

Sudah semestinya nama N Thanabalan antara yang disebut-sebut dalam perlawanan bola sepak pada temasya sukan kali ini. Mana taknya, Thanabalan boleh dianggap hero apabila telah menjaringkan gol tunggal pada minit-minit akhir sebelum perlawanan tamat.

Semalam, kecoh di sebuah restoran apabila pemain bola sepak itu muncul di restoran berkenaan. Mana taknya, boleh dikatakan semua pelanggan bersorak dan mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad Harimau Muda yang berjaya ke final.

Khabarnya penyerang skuad bawah 22 tahun negara itu ke sana untuk berjumpa dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir menentang Indonesia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Disebabkan itu juga, ramai pelanggan tidak mahu melepaskan peluang untuk berswafoto dengannya sehinggakan dia tidak sempat duduk. Haa.. jangan ingat artis sahaja yang diserbu, rasanya akan ramai lagi atlet bakal berada dalam situasi sebegini selepas ini.

Thanabalan mengakui menghargai sokongan yang diberikan dan tidak mengaggap dirinya sebagai seorang bintang apabila berjaya membawa skuad negara melangkah ke final.

“Saya terkejut juga bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk mak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium tadi (semalam).

“Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tapi saya tak anggap diri saya seperti ‘superstar’ (bintang) namun saya hargai segala sokongan yang diberikan,” katanya memetik laporan BH Online.

Walau bagaimanapun, Thanabalan dan keluarganya terpaksa beredar dek kerana ramai pelanggan ‘menyerbunya’. Yalah, pastinya Thanabalan mahukan sedikit ruang privasi bersama keluarganya.

Memang tidak dapat dinafikan tandukan Thanabalan semalam membuka ruang buat skuad negara untuk meraih pingat emas pada temasya kali ini. Tapi, persembahan keseluruhan skuad juga harus dipuji.

Apa-apa pun good luck kepada skuad bola sepak Malaysia (B-22) untuk final pada Selasa ini! – MYNEWSHUB.CC / Aisyah Karim

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *