Gila! sampai RM950 `dicekiknya’

Posted on

DIPAKSA bayar tambang teksi sebanyak RM950 bagi jarak kurang 10 kilometer.

Itu nasib malang dialami dua lelaki warga Bangladesh yang diperas ugut seorang pemandu teksi ketika menaiki kenderaan itu dari KL Sentral ke Setapak di sini, Sabtu lalu.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa baru tiba dengan menaiki bas dari Kuala Terengganu.

“Mangsa mulanya ditawarkan suspek menaiki teksi dipandu ke Setapak dengan kadar tambang RM50 setiap seorang.

“Namun sebaik tiba di lokasi, pemandu teksi itu mengugut mangsa membayar tambang RM950,” katanya.

Menurutnya, berlaku pertengkaran namun mangsa terpaksa akur berikutan bimbang dicederakan suspek yang turut membawa senjata kayu dan besi di dalam teksi itu.

Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan di sini.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang turut menerima laporan sama segera melakukan operasi khas mengesan pemandu teksi itu.

Operasi bermula jam 10 malam semalam dan pegawai SPAD berjaya menahan pemandu teksi berusia 30-an itu di ibu kota.

Teksi yang digunakan suspek turut disita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22 dan Seksyen 75 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2015.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *