‘Geng Abon’ Aktif Pecah Kereta Tumpas

Posted on

KOTA KINABALU – ‘Geng Abon’ yang aktif dalam kegiatan pecah kereta di sekitar daerah ini tumpas selepas tertangkapnya empat suspek lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M .Chandra berkata modus operandi kumpulan terbabit ialah mensasarkan kereta mangsa yang mempunyai beg atau barangan bernilai yang ditinggalkan dalam kenderaan dan diparkir di tempat yang tidak mempunyai pengawal.

“Kita menerima empat laporan kejadian pecah kereta di sekitar Kota Kinabalu yang melibatkan kerugian RM25,000 dalam tempoh Jun dan Julai lepas.

Bagaimanapun laporan polis berhubung kejadian pecah kereta di kawasan parkir Plaza Juta Likas di antara pukul 9.30 malam hingga 11.45 malam 24 Julai lepas, kemudiannya membawa kepada penangkapan semua suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian itu, geng berkenaan bergerak menggunakan sebuah kereta jenis Kelisa warna perak.

“Hasil daripada siasatan dan maklumat risikan sepasukan anggota polis kemudiannya berjaya menahan kesemua suspek berusia 23 hingga 37 tahun itu dalam empat siri serbuan di sekitar daerah Tuaran Rabu hingga Jumaat lepas,” katanya.

Chandra berkata pihaknya turut merampas tiga buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah pecah kereta dan ujian saringan mendapati tiga daripada suspek positif dadah.

Katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Chandra menasihatkan agar orang ramai tidak menyimpan barang berharga dalam kenderaan yang mudah dilihat dan boleh memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan pecah kereta. – BERNAMA

[embedded content]

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *