Gegaran Seorang Ratu | Siakapkeli

Posted on
Gegaran Seorang Ratu

Konsert Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 bertaraf antarabangsa. (Pic: IME)

Terlalu banyak kenangan indah dicipta Datuk Sheila Majid di Stadium Negara. 26 tahun lalu, Sheila pernah melakar sejarah apabila berjaya menggegar lokasi ikonik itu dengan konsert pertamanya di situ, Legenda disusuli dengan konsert Ratu lima tahun kemudian.

Dan malam minggu lalu, penyanyi bertubuh genit ini kembali menggamit nostalgia peminatnya apabila tampil dengan Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 di lokasi yang sama. Ternyata doanya dijawab Tuhan kerana hampir dua dekad menanti, impian Sheila untuk beraksi di stadium berkenaan akhirnya menjadi kenyataan.

Impian jadi kenyataan.

Tampil mengenakan busana gaun labuh rona jingga, penyanyi ini muncul dari pentas hidraulik sekitar jam 8 45 malam sambil menyanyikan lagu Pengemis Muda, lagu yang berjaya memperkenalkan namanya dalam persada seni 32 tahun yang lalu.

Tiada apa yang lebih mengujakan Sheila selain melihat kemunculannya disambut lebih 4,000 penonton yang hadir untuk menyaksikan konsertnya itu.

Tidak jemu hargai peminat.

Irama rancak lagi bertenaga itu ibarat pemanas badan buat Sheila dan peminat sebelum menjadikan ruang stadium bertambah hangat dengan alunan muziknya yang lain.

Dalam kerancakan irama, sempat juga Sheila menghargai penonton kerana tidak pernah jemu memberikan sokongan terhadap dirinya.

Kagum dengan peminat Dato Sheila.

“Terima kasih kerana menjadikan konsert ini sold out,”katanya sambil diberikan tepukan gemuruh penonton yang hadir.

Rojak Daily Kaw! yang turut diundang membuat liputan konsert berkenaan kagum melihat betapa peminat Sheila menghargai setiap keringat serta karya yang dihasilkan penyanyi kesayangan mereka itu dengan menghafal lirik setiap lagu yang dinyanyikannya.

Setiap lagi bawa erti pada peminat.

Buktinya, setiap lagu yang didendangkan pasti akan ada penonton yang bertindak ala penyanyi latar dari tempat duduk mereka.

Setiap lagu yang dinyanyikan membawa makna tersendiri buat penonton terutama mereka yang pernah menjadikan lagu Sheila sebagai kenangan tatkala mereka berpacaran dan juga putus cinta.

Tertawa besar penonton apabila Sheila berseloroh mengatakan yang dirinya begitu popular dengan lagu sedih atau disifatkannya sebagai lagu bunuh diri.

Kualiti yang tiada kompromi.

Antara lagu balada popular yang menjadi pilihan untuk dinyanyikan adalah Di Dalam Emosi Ini, Kerinduan, Gerimis, Kepergianmu, Ku Mohon dan juga lagu yang disifatkannya sebagai balada gergasi kerana mendapat sambutan hangat di Indonesia iaitu Cinta Jangan Kau Pergi dan Antara Anyer dan Jakarta.

Bagi mereka yang pernah menyaksikan konsert Ratu Jazz ini, pasti mengetahui yang dia tidak pernah berkompromi dengan soal kualiti.

Makna konsert sebenar.

Menerusi persembahan yang memakan masa hampir tiga jam itu, Sheila berjaya mengotakan katanya apabila konsert anjuran IME Malaysia, diterbitkan oleh More Entertainment dan disokong oleh syarikat pengurusan artis, Megada Entertainment itu cukup sempurna penganjurannya terutama dari segi teknikal.

“Banyak sudah persembahan yang saya lakukan sebelum ini termasuk persembahan makan malam, konsert amal dan sebagainya. Dan kalau nak tahu apa itu konsert, apa yang anda saksikan tadi, itulah dia makna konsert yang sebenar,” kata Sheila pada sidang media usai konsert berakhir.

Beri inspirasi pada penghibur lain.

Sejujurnya tiada apa yang perlu dibuktikan oleh legenda yang masih bernafas ini. Semangat serta perjuangannya banyak memberikan inspirasi. Semoga konsert ini bukan yang terakhir dari Sheila kerana kita sedar dan tahu muziknya mampu menyatukan semua.

Sementara itu, wakil penganjur yang juga Pengarah Serantau IME Asia, Howard Kong berpuas hati dengan penganjuran konsert berkenaan.

Penganjur cadang bawa konsert ke Asia dan Eropah.

Sambil menyifatkan konsert itu berjaya, beliau bercadang untuk membawa konsert ini ke peringkat Asia dan besar kemungkinan ke Eropah.

“Kami akan membawakan konsert ini ke negara jiran seperti Indonesia dan Singapura pada tahun hadapan. Kita juga tahu Sheila pernah mempunyai album di Jepun dan jualannya sangat memberangsangkan. Justeru mungkin kami akan membawa konsert ini di sana.

Punya peminat berbilang bangsa.

“Sheila mempunyai peminat yang berbilang bangsa dan berdasarkan analisa kami, sebanyak 65 peratus pembeli tiket adalah orang Melayu manakala 35 peratus adalah orang Cina. Dengan semangat Malaysia boleh tidak mustahil untuk konsert ini dibawa jejalah Eropah atau dunia sekali pun,”katanya.

Artikel berkaitan untuk dibaca :

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *