Gajet Musnahkan Hubungan! | Siakapkeli

Posted on

Jika dahulu kita menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) namun kini kita lebih cenderung menggunakan aplikasi WhatsApp. Ini kerana SMS menggunakan bayaran untuk setiap pesanan atau gambar yang dihantar. Manakala WhatsApp adalah percuma dan hanya perlukan talian Internet.

Malah aplikasi ini juga boleh dibina untuk grup dan pelbagai sembang boleh diadakan dalam satu masa. Segalanya boleh dikongsi termasuklah teks, gambar, suara dan video. Disebabkan pelbagai perkara boleh dilakukan pada gajet, ada individu yang terlalu asyik dengan gajet sehingga menggugat keharmonian rumah tangga.

Kurang komunikasi

Apabila terlalu asyik menggunakan gajet, tidak mustahil sesebuah rumah tangga itu akan menjadi hambar. Di mana wujudnya keharmonian jika anda dan pasangan tidak berkomunikasi antara satu dengan lain?

Misalnya si isteri sibuk melayan sembang grup WhatsApp dengan rakan seuniversiti dahulu. Manakala si suami pula sibuk melayan grup sembang WeChat. Hal ini membuatkan anda dan isteri kurang berbual dan akhirnya rumah tangga menjadi hambar.

Anda sepatutnya mengehadkan penggunaan gajet tatkala di rumah. Jangan terlalu asyik melayan keseronokan segala macam aplikasi di telefon bimbit anda itu. Luangkan masa yang ada bersama keluarga. Berkomunikasilah dengan baik dengan pasangan.

Cipta topik yang menyeronokkan misalnya kisah-kisah lucu yang berlaku di pejabat, mengenai filem yang anda berdua gemari atau mengenai rancangan televisyen yang menarik perhatian anda berdua

Kekalkan hubungan cinta anda dan jangan jadikan gajet sebagai penghalang untuk anda berdua berkomunikasi.

Leka

Penggunaan gajet memang boleh melekakan. Apatah lagi segala aplikasi boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Paling popular ialah penggunaan facebook yang menghubungkan kita dengan sesiapa sahaja yang turut sama mempunyai akaun facebook.

Pasangan suami isteri dinasihatkan supaya tidak terlalu ralit menggunakan gajet sehingga leka melayari facebook atau lain-lain aplikasi sembang. Malah tidak mustahil ada pasangan yang semakin renggang disebabkan leka bermain game di telefon bimbit.

Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam perhubungan suami isteri, anda sepatutnya lebih bijak membahagikan masa. Anda perlu meluangkan masa untuk pasangan dan anak-anak. Jangan sesekali mengabaikan mereka kerana menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga adalah tanggungjawab utama.

Membosankan

Hubungan suami isteri boleh jadi membosankan apabila pasangan terlalu asyik membuang masa pada gajet. Apabila hubungan suami isteri mulai bosan, maka hubungan tersebut akan mudah retak.

Sebagai pasangan suami isteri, anda perlu bijak menentukan hala tuju sesebuah perkahwinan. Jangan sampai hubungan telah retak barulah anda mahu memperbaikinya. Elakkan wujud perasaan bosan dengan menjadi pasangan yang tahu tanggungjawab.

sumber : keluarga

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *