EVO 6 untuk suamiku… [METROTV]

Posted on

Pix Ihsan Zaidah

Kuala Lumpur: “Bukan niat saya mahu menunjuk atau riak, tetapi hadiah kereta Mitsubishi Lancer Evolution VI (EVO 6) berkenaan hanya kejutan buat suami sempena ulang tahun perkahwinan kami ke-17 hari ini (semalam).

“Saya hanya berkongsi rakaman detik indah itu berikutan melihat reaksi terkejut suami yang begitu teringin memiliki kereta berkenaan.”

Itu reaksi Zaidah Mohd Ishak, 40-an, wanita yang menghadiahkan kereta Evo 6 kepada suaminya, Yohan Biantoro, 40-an yang menjadi tular di laman sosial.

Zaidah berkata, video itu dimuat naik di Facebook miliknya pada 22 Mei lalu selepas meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang diawalkan tarikhnya demi memberi kejutan buat suami.

“Sebenarnya saya dan suami memang ‘kaki lumba’ di litar di Sepang. Kami mempunyai empat kereta lumba dan kebetulan menyertai kumpulan yang berkongsi hobi sama.

“Satu hari, suami memberitahu rakannya mahu menjual Evo 6 berwarna kuning dan dia begitu teringin membelinya berikutan kereta itu tiada lagi dalam pasaran. Saya hanya mendiamkan diri sebelum merancang sesuatu,”katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, dia kemudian merancang membeli kereta itu dengan rakan suami dengan harga tunai tanpa pengetahuan suami.

“Saya berpakat dengan rakan suami, jika Yohan menghubungi untuk bertanya mengenai kereta berkenaan, beritahu dia kereta sudah dijual kepada seseorang.

“Tiba-tiba satu hari suami menceritakan kekecewaan kereta berkenaan sudah dibeli orang tanpa mengetahui saya adalah pembelinya,”katanya yang juga kontraktor.

Katanya, dia bersama rakan suami kemudian mengaturkan rancangan Isnin lalu di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor dengan membawakan kereta Evo 6 itu.

“Suami pada mulanya seperti bingung dan tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat kereta Evo 6 kuning berkenaan memasuki tempat letak kereta berdekatan meja kami makan.

“Saya kemudian membawa kertas tertulis ‘Happy Anniversary’ (Selamat Ulangtahun) dan memberitahu kereta berkenaan memang untuk dia sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kami,” katanya.

Zaidah berkata, suaminya tidak putus-putus mengucapkan terima kasih dan sangat gembira dengan hadiah kereta itu yang memang menjadi idamannya.

“Saya hanya mahu menegaskan kepada netizen, video itu bukan untuk menunjuk atau riak, tetapi hanya bukti kasih sayang saya terhadapsuami,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *