Elly keraskan hati

Posted on

Tiada apa yang dapat menghalang Elly Mazlein, 36, menuntut nafkah anaknya, Putri Sara Sefhia, daripada bekas suami, pengarah drama Azmi Hatta, 42.

Sebagai ibu, dia mahu bayi berusia setahun itu mendapat haknya. Pada 12 Oktober 2016, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengeluarkan perintah agar Azmi membayar nafkah bulanan kepada Sefhia sebanyak RM1,500 tetapi Azmi minta jumlah itu dikurangkan.

“Tuntutan itu masih dalam perbicaraan dan saya terpaksa keraskan hati mengenai isu ini kerana ia hak Sefhia.

“Jadi, saya ikut saja apa kata mahkamah dan tak mahu mengulas lebih-lebih mengenai hal ini,” katanya.

Elly yang bahagia meneruskan hidup bersama puteri tunggalnya berkata, dia kini lebih tabah dan kuat dengan adanya sokongan keluarga serta peminat.

“Saya baru selesai penggambaran drama 40 episod, Vila Ghazara dan bercadang bercuti dengan Sefhia. Kami akan bercuti dalam negara saja kerana banyak lagi destinasi menarik saya belum pergi.

“Selain itu, saya mahu berehat sebelum mendapat tawaran berlakon yang baru. Sebenarnya jadual seni saya sangat padat dengan undangan menjayakan persembahan dan berlakon selepas menyertai Gegar Vaganza 3 (GV3).

“Saya amat terharu dengan sokongan peminat dan ini semua rezeki Sefhia,” katanya.

Penyertaannya dalam program itu juga membuatkan peminatnya sedar dia memulakan kerjaya nyanyian seawal usia 16 tahun. Dia pernah popular dengan lagu Bakawali dan Usah Di Tambah Bara Yang Tersimpan.

Belum fikir soal jodoh

Sejak kes perceraian dan isu dia menarik diri daripada GV3, Elly terus menjadi tumpuan peminat dan media yang tidak pernah jemu memburu cerita sensasinya.

Sikapnya yang ‘terbuka’ , ceria dan suka bergurau membuatkan dia amat disenangi ramai.

Elly yang juga terkenal dengan nama jolokan Kak Lina Pom Pom tidak sunyi hidup bersendirian meskipun peminat sering bertanya bila mahu mencari pengganti. Malah wanita itu selesa menggalas status sebagai ibu tunggal.

“Saya tidak marah mereka bertanya pasal kahwin kerana tahu mereka mahu saya hidup gembira dan bahagia dengan jejaka idaman. Saya akan menjawab setiap persoalan itu dengan baik agar tidak menyakiti hati sesiapa. Bahkan saya anggap pertanyaan itu adalah doa untuk saya.

“Buat masa ini saya mahu membesarkan Sefhia dan memberi kebahagiaan kepada bapa. Mereka berdua amat bermakna dalam hidup saya. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.

“Rezeki terus mencurah-curah, jadi lebih baik fokus kepada keluarga kecil saya dan kerja,” katanya.

Elly ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta satu produk pelangsingan badan, baru-baru ini.

Bercakap mengenai produk itu, dia menerima tawaran sebagai duta kerana selepas mengamalnya dalam masa sebulan, berat badannya berkurang lima kilogram.

“Nak jadi duta, saya mestilah mencubanya dulu baru tahu khasiat dan kesannya.

“Alhamdulillah tak sangka berat saya turun hampir lima kilogram sejak menggunakan produk itu dan sangat mudah diamalkan. Tak perlu berpantang,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *