Dua Sahabat Sambut Merdeka Atas Landasan Keretapi Maut

Posted on
Dua Sahabat Sambut Merdeka Atas Landasan Keretapi Maut

Semangat ‘Malaysia Boleh’ apabila Mohd Adib Mohd Yusop (kanan) bersama Rudy Syareme Sheriffudin ketika berada di landasan keretapi maut Thailand – -Myanmar di Sangklaburi. (Gambar Eiylla Syaharith)

Pengalaman berada di puncak Nern Chang Suek, Pilok Kachanaburi setinggi 1,053 meter dari paras laut bersempadan dengan Thailand – Myanmar cukup mencabar buat dua sahabat menjalankan misi Kembara Jiwa – Death Railways Expedition (Penang – Kachanaburi) yang bermula dari 26 Ogos lalu sehingga 3 September ini.

Bermula dari pintu masuk Taman Negara Thong Pha Phum, perjalanan mengambil masa dua jam setengah apabila buat pertama kalinya dua kereta, Nissan Ad Resort dan Perodua Myvi mendaki puncak gunung dengan keadaan persekitaran yang dipenuhi lumpur dan jalan berlubang serta laluan curam berjaya ditempuhi dengan selamat.

Lebih mencabar lagi apabila tiba di puncak keadaan cuaca hujan lebat, ribut petir dan angin kencang melanda perjalanan dua sahabat, Mohd Adib Mohd Yusop dan Rudy Syareme Sheriffudin serta keluarga.

Misi Kembara Jiwa Death Railway Expedition bersempena bulan kemerdekaan Malaysia Ke-60 menjadi inspirasi Mohd Adib Mohd Yusop (kanan) dan Rudy Syareme Sheriffudin melengkapkan ekspedisi selama tujuh hari.

CABARAN DI PUNCAK

Bagi Mohd Adib, cabaran memasang khemah dalam hujan lebat serta angin kencang sukar untuk dilupakan sampai bila-bila tetapi berkat doa dan semangat patriotik membara, semua cabaran dapat ditempuhi dengan selamat.

Menurutnya, misi Kembara bermula dari Pulau Pinang ke Kanchanaburi sejauh 1,300 kilometer dengan perjalanan yang mengambil masa 28 jam pemanduan dari sempadan Bukit Kayu sehingga Kanchanaburi.

Tambahnya, perancangan mengambil masa lebih dua bulan untuk melaksanakan Kembara Jiwa Death Railway Expedition dan akhirnya misi ini bermula pada 26 Ogos 2017 pada jam 4 petang.

Peserta merakam kenangan ketika berada di puncak Nern Chang Suek di Pilok yang mempunyai ketinggian 1,053 meter dari paras laut.

“Perjalanan menempuhi lebih 10 negeri antaranya Pulau Pinang – Kedah – Sadao – Songkhla – Phatalung – Tung Song – Nakhon Si Tamarat – Surat Thani – Chumphon – Prachuap – Hua Hin – Cha Am – Petchanuri – Ratchaburi dan Kanchanaburi.

“Misi ini bersempena sambutan ulangtahun Kemerdekaan negara ke-60 dan kembara jiwa ini bertujuan untuk mengenang kembali peristiwa bersejarah semasa perang Jepun ke atas Malaya pada 1943 dimana orang-orang di selatan Asia terutama tanah melayu ditawan dan dipenjarakan serta dikerah tenaga menjadi hamba perang membina landasan keretapi maut di Siam – Myanmar.

“Alhamdulillah berkat doa dan sokongan rakan-rakan termasuk keluarga dan beberapa penaja termasuk Nurul Ikan Bakar Special, Restoran dan Hotel Pen Mutiara, Empire Film Solutions dan Nasi Kandar Line Clear akhirnya misi ini tercapai,” katanya.

Pengalaman masak di dalam hujan lebat dan angin kencang cukup meninggalkan 1,001 kenangan manis yang sukar dilupakan.

Tambahnya, mereka bersyukur apabila misi ini hampir mencapai kejayaan dan meninggalkan kenangan manis sebagai rakyat Malaysia yang menyambut hari kemerdekaan negara ke-60 dengan cara unik seperti ini.

“Syukur kepada Allah SWT kerana kita berjaya menawan beberapa lokasi sejarah yang menarik antaranya jambatan landasan keretapi maut di River Kwai, tugu peringatan perang dunia kedua, perkampungan peninggalan selepas perang dunia kedua (Ban I-Tong).

“Tidak ketinggalan kami berjaya tiba di sempadan Thailand – Myanmar yang menempatkan tiga tugu pagoda di Sangklaburi serta jambatan buluh terpanjang di Thailand (Mon Bridge), Air Terjun Erawan.

“Satu pengalaman yang menarik lagi, kami dapat merasai menaiki keretapi dari Kachanaburi ke Namtok yang dulunya merupakan keretapi yang digunakan ketika zaman perang semasa Jepun menjajah tanah Asia,” katanya.

Dua sahabat berjaya di puncak Nern Chang Suek di Pilok, Thailand.

Sebelum pulang semula ke tanah air Kembara Jiwa Death Railway Expedition ini turut singgah bandar besar kota metropolitan Thailand di Bangkok dan pusat pelancong tersohor di Pattaya.

Kepuasan kembara ini mampu menarik perhatian dan memberikan panduan dalam merealisasikan misi dan kenangan kembara dari Pulau Pinang ke Kachanaburi selain menyemarakkan lagi semangat cintakan negara kita Malaysia.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *