Dua pekerja warga Bangladesh maut tertimbus di Hulu Langat

Posted on

KUALA LUMPUR: Dua buruh binaan warga Bangladesh maut apabila tebing berhampiran rumah kongsi yang didiami mereka runtuh di Batu 12 Jalan Hulu Langat, awal pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Rana, 40, dan Masudrana, 22, terbunuh selepas tertimbus dalam tanah semasa sedang tidur dalam dua bilik berasingan di rumah kongsi itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ahmad Hisham Abdul Rahman berkata kejadian yang berpunca daripada hujan lebat pada kira-kira 2 pagi itu, turut menyebabkan seorang lagi pekerja patah kaki.

“Runtuhan tebing berkeluasan 18 meter persegi itu membabitkan empat mangsa di dua bilik dalam rumah kongsi itu. Dua mangsa selamat manakala dua lagi tertimbus.

“Mangsa yang tertimbus dikeluarkan oleh rakan mereka sebelum bomba tiba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ahmad Hisham berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.09 pagi sebelum sebuah jentera dengan enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *